Tingkatkan Momentum Kempen BN, Yakin Rakyat Nenggiri Pilih Awie

GUA MUSANG, 14 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin percaya dan yakin dengan tempoh masa kempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi sokongan masyarakat setempat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat ditingkatkan kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau dengan kerjasama serta sokongan jentera tempatan dan jentera pelbagai peringkat lain maka perkara berkenaan mampu direalisasikan.

“Saya percaya dengan masa dan baki tempoh kempen yang masih ada kita akan pastikan dapat dekati seberapa ramai pengundi dan masyarakat setempat. Elakkan perkataan yang menabur fitnah sebaliknya kita berikan tumpuan serta fokus tawaran kepada rakyat Nenggiri,” katanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jerek.

Megat Zulkarnain seterusnya berharap momentum jentera pelbagai peringkat terus ditingkatkan sehingga ke tempoh tamat masa berkempen.

“Insya-Allah… BN berikan tawaran terbaik untuk rakyat Nenggiri dengan seorang calon yang boleh berkhidmat, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie. Teruskan berjuang kepada seluruh jentera,” ujarnya lagi.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit