PRK Nenggiri: Saya Akan Membuang Undi Di Bertam Lama… Awie Jawab Tohmahan Liar

GUA MUSANG, 14 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menjawab kritikan serta tohmahan pihak tertentu bahawa beliau tidak mengundi di kawasan berkenaan pada Sabtu ini.

Katanya beliau akan membuang undi di Bertam Lama sama lokaliti dengan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail dan hubungannya dengan calon daripada pihak lawan sangat baik.

Berucap pada Majlis Jumpa Mata di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Tumbuh bersama penduduk setempat, beliau berkata azamnya adalah untuk menjadi ‘Yang Berkhidmat’ kepada masyarakat di Nenggiri.

“Mok ayoh adik kakok… ambo nak mintak tulong untuk beri kepercayaan pada ambo Sabtu ni… ambo akan jadi ‘Yang Berkhidmat’ kepada mok ayoh adik kakok semua. Ambo dengan sepenuh hati ingin menabur bakti kepada masyarakat di sini,” katanya dalam loghat Kelantan.

Turut serta pada majlis berkenaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama jentera setempat dan yang lain.

Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie seterusnya berkata jika masyarakat di kawasan berkenaan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, masing-masing boleh menukarnya pada pilihan raya akan datang.

“Kita nak pilih yang berkhidmat… selepas ini kita ada mengundi lagi… jika tidak berpuas hati boleh buang dan ganti dengan yang lain. Ambo sepenuh hati jiwa dan raga ingin berbakti untuk DUN Nenggiri. Apabila amanah ambo pikul insya-Allah tidak akan disia-siakan,” ujarnya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.