PRK Nenggiri: Pertempuran Bendera, Menakluk Hati Pengundi

GUA MUSANG, 14 Ogos – Kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semakin dirasai apabila parti yang bertanding menggerakkan jentera untuk berkempen serta memasang bendera parti masing-masing di sepanjang jalan raya.

Perang bendera khususnya di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) semakin rancak apabila petugas jentera dilihat memacak bendera di lokasi-lokasi yang strategik.

Tinjauan UMNO Online mendapati bendera Barisan Nasional (BN) telah dipasang di tepi jalan-jalan utama.

Poster wajah calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani terutamanya ‘billboard’ dan ‘banner’ terpampang di semua tempat serta meriah di setiap ceruk di kawasan ini.

Pemasangan bendera, ‘billboard’ dan ‘banner’ juga dipantau setiap hari bagi memastikan ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan serta mengganggu keselamatan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.

Seperti biasa, penyokong parti terutamanya anak muda antara tulang belakang dalam menyempurnakan tugas. Sanggup bersengkang mata menyiapkan segala persiapan serta memasang bendera parti sama pada lewat malam.

Bilik gerakan parti sentiasa penuh oleh jentera-jentera tempatan, negeri bahkan bahagian angkat. Jentera parti sibuk menyantuni dan merayu pengundi agar istiqamah mengundi BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dan tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 13 Ogos.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit