PRK Nenggiri: Jangan Lagi Toleh ke Belakang, Hari Mengundi Sabtu Ini Pilih Awie – Onn Hafiz

GUA MUSANG, 14 Ogos – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap pengundi di Nenggiri tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus membuat pilihan yang terbaik dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan Sabtu ini.

Menurut beliau berbaki beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen, pengundi diharap dapat membuat keputusan yang terbaik agar mesej jelas dapat diberikan untuk perubahan yang lebih baik.

“Perubahan bermula dengan wakil rakyat… perkara yang jadi keutamaan rakyat perlu kita selesaikan. Jadi Sabtu ini jangan toleh ke belakang lagi… minggu terakhir kempen sebelum Sabtu ini… saya merayulah kepada seluruh pengundi di sini termasuklah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Tumboh ini untuk memilih calon nombor dua, saudara Awie.

“Kita bukan sokong buta-buta… malah saya cukup tersentuh dengan ucapan saudara Ismail tadi… kita di kawasan Pasir Tumboh ini perlu ada cita-cita bukan sahaja untuk membantu menangkan Awie malah untuk membangunkan kampung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Mata di Pusat Daerah mengundi (PDM) Pasir Tumboh.

Onn Hafiz seterusya menambah Sabtu ini yang merupakan hari penentuan untuk memilih wakil rakyat bukanlah perkara main-main.

“17 Ogos ini bukan perkara main-main… kita nak keluar mengundi bukan suka-suka. Mesej jelas perlu diberikan dan kita mahukan perubahan yang lebih baik. Insya-Allah seluruh jentera parti akan bantu sebaiknya,” ujarnya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit