PAU Himpunan Orang Melayu Terbesar, Bawa Agenda Perjuangan Agama Dan Bangsa – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah perkumpulan orang Melayu yang terbesar dalam membawa pelbagai agenda mengangkat agama dan bangsa.

Justeru kata beliau, PAU 2024 yang bakal dianjurkan bermula 21 Ogos ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi meneruskan kesinambungan perjuangan kepada rakyat khususnya orang Melayu.

“PAU adalah satu perkumpulan orang Melayu terbesar di negara kita setiap tahun. Selalu orang panggil PAU tetapi orang lupa bahawa ia adalah perhimpunan terbesar orang Melayu di negara ini.

“Perjuangan UMNO ini adalah perjuangan rakyat untuk agama, bangsa dan tanah air tanpa kita mengenepikan kaum-kaum lain.

“Mereka juga bersama dalam perjuangan yang kita teruskan perjuangan ini walaupun kita tidak menjadi dominan dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata meskipun UMNO berhadapan pelbagai cabaran dengan dinamika politik, namun ia tidak mematahkan semangat para pejuangan parti untuk berusaha mengukuhkan parti keramat ini.

Malah menurut Ahmad, kesetiaan merupakan instrumen penting kerana menjadi asas ketika keberadaan dalam susah dan senang yang mencerminkan komitmen dan prinsip yang teguh.

Katanya lagi, ia juga menunjukkan bahawa sokongan bukan sekadar untuk mendapatkan manfaat peribadi tetapi kerana percaya dengan perjuangan dan matlamat parti.

“Ya sekarang pada masa-masa akan datang insya-Allah kita akan berusaha untuk mengembalikan kejayaan UMNO di arena politik negara.

“Ketika senang kita setia pada parti kerana mungkin menerima balasan namun ketika tidak memenangi pilihan raya, jangan kita lari pada parti kerana orang melihat kesetiaan itu lebih daripada segalanya. Maka bersetialah dalam perjuangan dalam susah dan senang,” ujar beliau.

Untuk rekod PAU 2024 akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian yang bermula 21 Jun hingga 29 Julai telah berlangsung dengan jayanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit