PAU 2024 Pertemuan Keluarga Besar UMNO Diskusi Hala Tuju Parti, Bawa Perjuangan Rakyat – Shamellya

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai pertemuan keluarga besar UMNO dalam membincangkan hala tuju parti keramat ini.

Katanya ia sebagai langkah penting bagi memastikan parti ini kekal relevan dalam membawa perjuangan rakyat.

“Saya kira PAU 2024 ni adalah satu pertemuan adik-beradik atau family day apabila kita duduk berhimpun bersama satu meja berbincang apa yang perlu.

“…. untuk kita perbaiki tahun demi tahun yang terbaik untuk UMNO,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Shamellya dalam pada itu berkata, Puteri UMNO akan memanfaatkan platform PAU ini untuk membawa kehadiran wanita muda untuk mereka melihat sendiri persidangan parti Melayu terbesar dalam memberi pendedahan kepada mereka yang belum pernah menyertai himpunan ini.

Menurut beliau ia juga sebagai usaha menarik kelompok tersebut termasuk mahasiswa untuk memahami perjuangan serta fungsi UMNO dalam membawa perjuangan demi kepentingan rakyat.

“Puteri pada kali ini berada di dewan besar dan pada ini pula merupakan peluang Puteri UMNO untuk ke hadapan menyerlah membawa wakil-wakil yang bukan juga Puteri UMNO, bukan juga ahli lagi serta mahasiswa dari seluruh negara.

“Kita nak minta mereka datang untuk melihat bagaimana Puteri UMNO Malaysia melakukan persidangan agung UMNO bersama dengan Wanita dan Pergerakan Pemuda,” ujar beliau.

Tambah beliau seperti kelazimannya Puteri UMNO akan membawa pendekatan berbeza dan baharu bagi menambah daya tarikan kepada persidangan sayap tersebut kali ini.

“Setiap kali kita lakukan PAU akan ada pelbagai benda baharu yang diketengahkan macam tahun lepas Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi ketengahkan penjagaan kanak-kanak di kawasan persidangan.

“Jadi nampak itu adalah isu yang sangat ketara dalam kalangan wanita muda dan tahun ini pula kita akan ketengahkan pelbagai perkara, pelancaran demi pelancaran untuk menarik peminat anak muda luar sana bersama dengan Puteri UMNO khususnya,” katanya lagi.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 Ogos ini yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada esoknya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.