PAU 2024 Libatkan 6,433 Perwakilan, Dimeriahkan 100 Gerai Jualan – SUA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan dianjurkan pada 21 hingga 24 Ogos ini melibatkan 6,433 perwakilan daripada seluruh negara yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, ia termasuk kehadiran ketua-ketua Penerangan bahagian yang dijadikan perwakilan automatik sebagaimana pindaan kepada Perlembagaan dan peraturan mesyuarat pada PAU sebelum ini.

“Perwakilan keseluruhan adalah seramai 6,433 orang perwakilan yang melibatkan di peringkat PAU kali ini meningkat seramai 2,939 orang perwakilan kerana ada tambahan ketua penerangan yang dijadikan sebagai perwakilan automatik.

“PAU kali ini akan melibatkan sebanyak 60 buah agensi media melibatkan media cetak dan elekronik iaitu 54 agensi tempatan dan enam agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 390 orang petugas media yang telah berdaftar,” katanya ketika sidang media khas sempena PAU 2024.

Dr Asyraf dalam pada itu turut memaklumkan bahawa seperti kebiasaannya gerai jualan juga akan dibuka kepada orang ramai iaitu 100 gerai dengan harga berpatutan disediakan sepanjang tempoh berlangsungnya persidangan ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa persidangan PAU kali ini hanya akan melibatkan keluarga UMNO dan seperti kelazimannya akan menjemput pemimpin tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Manakala kata beliau, melalui perbincangan di peringkat majlis pimpinan Kerajaan Perpaduan juga memutuskan bahawa tiada kehadiran parti-parti dalam kerajaan pada persidangan PAU kali ini.

“Untuk tahun kedua bersama dengan kerajaan ini kita buat PAU secara keluarga UMNO lebih dahulu sebab tahun pertama itu kita bawa jemputan dan insya-Allah tahun depan atau tahun sebelum pilihan raya.

“Kali ini kita nak memberikan ruang seluas-seluasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan. Tidak ada pemimpin utama parti yang datang kali ini seperti kesepakatan bersama namun kehadiran komponen-komponen BN seperti biasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit