Pas Hentikanlah Kempen Politik Kotor, Pengundi Diseru Pilih BN Untuk Nenggiri

GUA MUSANG, 14 Ogos – Hanya tinggal beberapa hari lagi siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bakal berakhir namun kempen yang dimainkan oleh Pas semakin melampau.

Pengerusi UMNOSiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohamad Aswad Abdullah menjelaskan hal ini adalah berbeza dengan kempen Barisan Nasional (BN) yang sentiasa penuh etika tanpa sebarang penghinaan.

“UMNOSiswa berpegang teguh kepada prinsip kempen yang bersih dan beretika, di mana setiap calon dan penyokong mesti dihormati tanpa sebarang penghinaan.

“Kempen hinaan dan makian oleh segelintir penyokong Pas yang melabelkan pihak lawan sebagai ‘bodoh’ adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak patut berlaku dalam mana-mana siri kempen pilihan raya.

“Sewajarnya kempen pilihan raya menjadi platform untuk calon-calon memperkenalkan visi dan misi mereka serta menawarkan solusi terbaik untuk kepentingan rakyat. Ia tidak sepatutnya dijadikan medan untuk mencaci, memaki atau merendahkan martabat mana-mana individu atau kumpulan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini.

Ujarnya, rakyat Nenggiri pasti dapat menilai sendiri parti manakah yang lebih bertamadun, beretika, dan layak untuk mewakili mereka di kerusi DUN Nenggiri.

“Ia jauh berbeza dengan BN yang sentiasa menampilkan kempen berfokus kepada pembangunan, kemajuan, dan kesejahteraan rakyat. Inilah yang membezakan kami daripada parti-parti lain, termasuk Pas,” katanya lagi.

Seterusnya kata Aswad lagi, beliau yakin bahawa Awie akan bawa perubahan yang positif sekiranya pengundi Nenggiri mengundi BN.

“Kami yakin dengan sokongan rakyat yang bijak menilai, calon BN, Awie akan dapat membawa perubahan yang positif dan membina untuk Nenggiri. Kami berjanji untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi, integriti, dan komitmen yang tinggi demi kesejahteraan semua.

“Undilah BN… undilah Awie untuk masa depan yang lebih cerah dan sejahtera bagi rakyat Nenggiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit