Akar Umbi Optimis Kerjasama Kerajaan Perpaduan, Platform Mantapkan Parti – Arman Azha
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah meluahkan kesyukuran dengan respon yang positif ditunjukkan oleh akar umbi UMNO berkenaan kerjasama politik UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata ia dapat dilihat menerusi mesyuarat UMNO di seluruh negara yang telah berlangsung baru-baru ini dengan penuh semangat solidariti dalam kalangan keluarga besar UMNO.
Jelas beliau, kerjasama ini juga perlu dilihat daripada perspektif berbeza termasuk memperkukuh parti.
“Ini satu kerjasama (Kerajaan Perpaduan) yang perlu kita laksana secara dinamik dan progresif walaupun ada segelintir yang masih lagi tidak memahami sebab apa kerjasama ini.
“Ia platform terbaik untuk memberikan penjelasan kepada akar umbi UMNO kenapa wujudnya Kerajaan Perpaduan, kenapa kerjasama sebuah politik ini amat penting selain daripada kerjasama politik ini, ini adalah satu platform untuk kita memantapkan parti kita sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut berkenaan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, Arman berkata suatu yang mustahil apabila dengan hanya 30 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO/BN namun masih diberi peluang untuk bersama membentuk kerajaan.
Tambah beliau lagi, lebih berbesar hati apabila tujuh pemimpin UMNO/BN yang berpengalaman diberi tanggungjawab untuk memegang portfolio penting dalam kerajaan.
“Bayangkan parti kita mempunyai 26 kerusi, rakan-rakan komponen kita semua sekali 30 kerusi. Kita boleh menduduki sebuah kerajaan dimana dalam kerajaan kita pilih tujuh wakil suara dalam Kabinet.
“Jadi menunjukkan bagaimana Perdana Menteri mengakui parti UMNO ini sebagai satu komponen yang cukup penting dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu, berharap akar umbi parti untuk terus berlapang dada dan menerima dinamika politik hari ini bagi memastikan parti ini terus membawa perjuangan membela nasib orang Melayu.
“Jadi saya harap kepada akar umbi UMNO bertenang, kita kena lihat kedepan kerana politik ini amat berbeza.
“Satu landskap politik yang amat dinamik dan progresif dan akar umbi UMNO perlu yakin dengan keputusan yang akan dibuat oleh parti kerana segala keputusan yang dibuat oleh parti ini untuk segala kepentingan UMNO itu sendiri untuk kita terus maju kehadapan.
“Jadi kepada akar umbi UMNO, bertenang, teruskan memberi sokongan kepada barisan tertinggi-tertinggi parti yang sentiasa memikirkan tumpuan parti UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online