Rakyat Nenggiri Jangan Terpedaya ‘Nak Jale Ker Nak Syurga?’, Pas Guna Dalil Sesuka Hati

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii menyeru pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri agar jangan terpedaya dengan sentimen yang selalu dimainkan Pas.

Begitu juga kata Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu, Pas sering memanipulasi dalil-dalil untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

“Saya nasihatkan kepada semua pengundi terutama yang beragama Islam… pemimpin Pas ini apabila kita tanya dia berkenaan pembangunan nak dibawa ke negeri Kelantan ataupun sesuatu kawasan, dia akan selalu memainkan ‘nak jale ker nak syurga?

“Saya nak bagitahu kepada pengundi-pengundi syurga adalah milik Allah Ta’ala, apa yang kita buat ini bukan undi Pas (tiket) masuk syurga. Ini kena faham sebab perkara ini sering dimainkan (untuk) menolak pembangunan semua tanpa kita memikirkan masa depan anak-anak bangsa kita,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya lagi, Pas juga sering mentafsir dalil mengikut acuan politik mereka dan untuk mengabsahkan tindakan contohnya berhubung calon wanita yang bertanding di dalam pilihan raya.

“Dalil.. contoh Datuk Suraya (Suraya Yaacob) seorang wanita, masa dia bertanding (DUN Sungai Tiang), Pas menggunakan dalil bahawasanya tidak boleh memangkah pemimpin wanita, begitu juga dengan Shahanim (Datuk Shahanim Mohamad Yusoff), digambarkan sebegitu. Pas haramkan untuk mengundi wanita.

“Padahal ada calon wanita mereka yang jadi pemimpin dan menang. Jadi Pas menggunakan dalil agama ini sesuka hati mereka,” bidasnya.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada Sabtu ini yang menampilkan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Justeru, Mohd Razlan menyeru pengundi membuat pilihan tepat dengan memilih calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie.

“Ini adalah taruhan yang cukup baik sebab kita tahu beliau anak tempatan, cukup aktif melihat rakyat dan pengundi di sana, mendapat sokongan UMNO bahagian dengan kukuh.

“Tengku Razaleigh (Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai Ketua UMNO bahagian dan mantan ahli Parlimen Gua Musang beliau memberikan kepercayaan kepada Pemuda dan saya percaya pilihan ini adalah pilihan yang tepat,” katanya yang percaya hanya BN yang mampu membawa banyak kebaikan dan kemajuan untuk rakyat Nenggiri. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.