PRK DUN Mahkota 28 September, Penamaan Calon 14 September – SPR

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September depan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun turut memaklumkan, tarikh penamaan calon pula pada 14 September, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 24 September 2024.

“Sejumlah 66,318 pemilih terlibat membabitkan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM2.4 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di sini hari ini.

Ini adalah PRK ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu dan PRK Sungai Bakap.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu selepas mengalami pendarahan dalaman.

Anak kelahiran Kluang itu merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan serta calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman. – UTUSAN

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.