Persidangan UMNO Untuk Perkukuh Semula Parti, Satukan Semangat Perjuangan – Zainuri

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO 2024 bakal berlangsung bermula 21 Ogos depan iaitu menyusul selepas mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang telah berakhir pada penghujung Julai lalu.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Zainuri Zainal mengajak para perwakilan yang bakal berkampung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) iaitu lokasi berlangsungnya persidangan untuk menjadikan perhimpunan tersebut sebagai permulaan mengukuhkan semula UMNO.

“Untuk para perwakilan di seluruh negara, saya nak ucapkan selamat datang ke Kuala Lumpur, selamat datang ke WTC, ke UMNO Malaysia, ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

“Jadi duduklah dalam dewan, dengarlah setiap bibit ataupun setiap bicara yang jurucakap-jurucakap di peringkat negeri akan bicarakan dan akan ucapkan sebab perkara-perkara ini yang kita akan bawa balik untuk menjadi suntikan semangat kepada kita, menjadi satu bekal untuk kita ceritakan di bahagian kita nanti.

“Jadikanlah peluang perhimpunan kali ini sebagai satu titik permulaan bagi kita untuk mengukuhkan balik parti kita dan untuk menambah baik yang mana yang kalau sekiranya ada ruang-ruang kelemahan di setiap bahagian yang kita nampak,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, melalui Perhimpunan Agung UMNO inilah maka pelbagai informasi dan juga pandangan yang baik daripada jurucakap-jurucakap peringkat negeri dapat didengar untuk dimanfaatkan di peringkat bahagian.

“Apatah lagi nanti kita akan dengar juga taklimat, amanat dan ucapan dasar daripada Presiden dan timbalan presiden juga.

“Kepimpinan tertinggi UMNO akan memberikan, akan menyantuni semua perwakilan-perwakilan. Jadikanlah pentas ini untuk dimanfaatkan, peluang yang kita dapat sebaik untuk kita jadikan azam dan juga bekal apabila kita pulang ke kawasan masing-masing.”

Beliau juga mengharapkan perhimpunan agung ini akan membuahkan satu idea dan pandangan yang cukup baik sebagai azimat ataupun untuk dijadikan inspirasi ke bahagian masing-masing.

“Kita tahu dalam keadaan sekarang kita perlukan apa juga sokongan moral, suntikan semangat, apa juga kaedah-kaedah untuk kita menguatkan balik parti kita ni di peringkat bahagian masing-masing.

“Jadi saya menyeru kepada semua jangan lepaskan peluang ini, jangan kita jadikan tempat ni untuk kita jalan-jalan tetapi inilah merupakan satu tempat ‘pentas ilmu’ untuk kita peroleh dan kita jadikan satu bekal kepada kita untuk bawa pulang ke bahagian kita nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.