PAU2024: Raih ‘Mood’ Kemenangan PRK Nenggiri Untuk Bekal Ke Persidangan Parti – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengajak anggota jentera parti untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai ‘mood’ menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata sekiranya UMNO/Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam PRK tersebut maka ‘mood’ ke PAU akan lebih baik.

“Kita perlu terus memberi fokus pada isu rakyat dan pada masa yang sama ada juga PRK jadi insya-Allah, kalau kita dapat menang dalam PRK ini maka ‘mood’ ke PAU pun akan lebih bagus. Saya yakin kita akan beroleh kemenangan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, PAU2024 perlu diaplikasi bukan sahaja sebagai ruang bagi menguatkan parti tetapi juga untuk menarik sokongan rakyat.

“Kepada semua anggota akar umbi, kita kena beri fokus bukan sahaja untuk menguatkan parti kita dalam UMNO tetapi juga menguatkan parti kita dalam kalangan rakyat.

“Apa-apa yang kita buat, apa-apa yang kita cakap terutamanya dalam ucapan-ucapan kita ini bukan sahaja menilai oleh orang UMNO atau ahli-ahli UMNO tetapi juga dinilai oleh masyarakat di luar sana.

“Oleh itu kita perlu memastikan yang kita kekal relevan di mata rakyat, tak cukup kita hanya fokus pada orang-orang UMNO tetapi mesti ada dan perlu pastikan kita terus dekati rakyat termasuk dalam program-program yang bersama mereka.”

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian yang bermula 21 Jun hingga 29 Julai telah berlangsung dengan jayanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.