PAU 2024 Ke Arah Masa Hadapan UMNO, Perkukuh Akar Umbi Terus Kerjasama Kerajaan Perpaduan – Azhar

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 kali membawa manifestasinya tersendiri iaitu sebagai penentu kepada masa hadapan parti, termasuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau malah percaya, perbahasan dan usul-usul yang akan dikemuka tentunya akan menjurus kepada agenda pengukuhan parti bersama kerajaan hari ini.

“Persidangan yang saya rasa menjuruskan kepada masa depan UMNO dan Kerajaan Perpaduan.

“Jadi dalam tempoh PAU ini, perwakilan akan mengemukakan pandangan-pandangan daripada negeri-negeri untuk kita terus bekerjasama, menguatkan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Azhar dalam pada itu menyeru ahli parti untuk sama-sama bersolidariti untuk memastikan kejayaan UMNO, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut beliau ia perlu fokus yang jelas untuk memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi sekaligus kembali menjadi parti dominan dalam politik negara.

“Dengan bersolidariti untuk memastikan PRU16 kita menang dan yang mustahaknya kalau UMNO diberi peluang untuk bertanding 60 ke 70 kerusi, kita menang 65 sehingga 60 kerusi pastinya UMNO akan jadi dominan.

“Tentulah bagi saya sebagai ahli parti menjunjung parti, mestilah kalau bolehnya UMNO kembali dominan, menguasai kerajaan ini dengan UMNO menjadi Perdana Menteri kalau boleh tapi kita nak dominan.

“Jadinya kalau hendak begitu, ahli parti serta pemimpin kena solidariti utamakan nak menang pilihan raya… daripada sekarang kita boleh tumpukan di beberapa kawasan Parlimen yang kita boleh menang,” ujar beliau.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 Ogos ini yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada esoknya.

Hari pertama tersebut juga menyaksikan Taklimat Presiden oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyampaikan aspirasi beliau kepada akar umbi parti untuk memastikan parti ini terus relevan dalam mendepani dinamika politik hari ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.