Manfaatkan PRK Nenggiri, Pilih Awie… Pesan Ahmad Zahid Kepada Pengundi

GUA MUSANG, 13 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi berkata ruang dan peluang yang ada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat setempat.

Menurut beliau kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie akan membolehkan masyarakat setempat mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen dan hari pengundian… saya telah banyak pergi PRK dan saya kagum dengan semangat yang ada di sini… insya-Allah kemenangan akan memihak kepada kita kerana jentera bekerja bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Mata Bersama Masyarakat Kampung Limau Kasturi, di sini petang semalam.

Ahmad Zahid seterusnya menambah Awie (Mohd Azmawi Fikri) perlu menang untuk memastikan segala perancangan untuk kawasan tersebut dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Abe (Ahmad Zahid) akan tolong Awie untuk bawa kemajuan di Nenggiri kerana hanya Awie yang boleh bawa kemajuan pembangunan di kawasan itu.

“Begitu juga permintaan Awie untuk mewujudkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Gua Musang juga telah dibincangkan bersama Dr Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Ya, Pengerusi MARA (Asyraf Wajdi) berkata di Gua Musang juga perlu ada GiatMARA Prima … insya-Allah semua perkara ini akan mudah dilaksanakan,” katanya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit