Jentera Wanita UMNO Terus Bertungkus Lumus Pastikan Kemenangan Awie – Dr Masliha

GUA MUSANG, 13 Ogos – Kerjasama jentera Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) sangat baik dari pelbagai peringkat malah menjadi kunci untuk strategi kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kata Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun.

Ini kerana katanya, semangat luar biasa tanpa erti letih jentera Wanita UMNO/BN membuktikan serta memainkan peranan yang cukup besar bagi pilihan raya ini.

“Semua pihak terutamanya jentera Wanita UMNO/BN bertungkus-lumus, tidak mengenal erti penat lelah dalam usaha memenangkan calon UMNO/BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie di DUN Nenggiri.

“Uşaha ini nampaknya memberi kesan yang cukup positif serta memberikan ‘feedback’ yang baik daripada pengundi dalam tempoh berkempen ini.

“Momentum ini dapat diteruskan sehingga ke saat akhir berkempen dan kita berdoa agar usaha ini akan terus membuahkan hasıl yang baik buat parti,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional, berkata pengundi di DUN Nenggiri perlu mengundi calon dari BN yang akan menjadi penghubung antara rakyat dan Kerajaan.

“Calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan harus menang pada pilihan raya ini untuk memudahkan dan memantapkan pembangunan di DUN Nenggiri ini kerana beliau sebagai penghubung pada rakyat di sini.

“Rakyat di DUN Nenggiri perlu beri ruang dan peluang kepada Awie untuk jadi wakil rakyat sebenarnya. Ia menjadi satu titik hubungan ataupun jambatan daripada rakyat Nenggiri kepada kerajaan pusat,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dan tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 13 Ogos ini.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.