Jadikan Awie ‘Yang Berkhidmat’, Tambah Suara Pembangkang DUN Kelantan

GUA MUSANG, 13 Ogos – Penerimaan positif daripada penduduk terhadap calon muda yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani merupakan satu petanda yang baik.

Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berkata peranan pembangkang yang kuat adalah penting untuk memastikan ‘check and balance’ dalam kerajaan negeri, walaupun keputusan pilihan raya ini mungkin tidak mengubah kerajaan Kelantan.

“Alhamdulillah kami bersama jentera tempatan yang lain dapat lihat dan rasai secara dekat penerimaan penduduk di sini…. penerimaan cukup baik dan rata-rata mereka memberitahu calon kita ini memang orang muda dan dikenali serta mempunyai potensi yang sangat baik.

“Walaupun kita sudah tahu dan sepertimana yang diperkatakan oleh pelbagai pihak, kemenangan ini tidak akan mengubah kerajaan negeri Kelantan tetapi kita harus ingat sebuah kerajaan yang ditubuhkan perlu ada semak dan imbang,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi pembangkang yang boleh berfungsi sedemikian rupa sudah pastilah akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat DUN Nenggiri kelak jika calon nombor 02, Awie diberikan mandat pada 17 Ogos nanti.

“Kita perlukan juga pembangkang sebenarnya… dan kita perlukan pembangkang yang boleh memberi semak dan imbang untuk mengimbangi sesebuah kerajaan.

“Jadi saya rasa kemenangan ini amat penting untuk membantu dua lagi rakan pembangkang yang lain yang ada di Dewan Undangan Negeri Kelantan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit