Gerak Kerja BN Semakin Mantap, Pastikan Kemenangan Berpihak Pada Awie – Jamal Nerubi

GUA MUSANG, 13 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menjelaskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) memohon semua jentera-jentera UMNO/BN turun ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi membantu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

“Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua jentera UMNO/BN membantu calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani agar turun bersama-sama bagi memastikan Awie memenangi pada PRK DUN Nenggiri ini.

“Saya melihat gerakan-gerakan oleh calon BN, Awie semakin mantap dan insya-Allah jika gerakan-gerakan ini dapat dikekalkan momentumnya, beliau akan menang dengan selesa pada PRK DUN Nenggiri ini. Sebenarnya beliau ini tiada isu yang hendak diserang oleh pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Asap, Nenggiri di sini.

Mengulas lanjut, kata Jamal Nerubi lagi, sekiranya masyarakat Nenggiri beri kepercayaan dan memilih Awie, maka beliau akan menjadi jambatan penghubung antara Nenggiri dengan kerajaan pusat.

“Awie akan menjadi jambatan kepada orang-orang muda di Kelantan ini. Beliau akan menjadi jambatan berhubung, bukan sahaja orang muda di sini, tetapi jambatan berhubung terus ke pusat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menambah bahawa Awie ini telah lama dikenali semua lapisan rakyat Nenggiri bahkan badan bukan kerajaan (NGO) turut mengenali beliau.

“Awie sememangnya dikenali semua lapisan masyarakat termasuk juga NGO di sini. Tidak mustahil apabila beliau terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan membawa suara dan inspirasi anak muda serta rakyat Nenggiri, bukan sahaja di Nenggiri malah di negeri Kelantan secara amnya,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos lalu manakala undi awal ditetapkan pada esok dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.