BN Konsisten Tumpu Aspek Kepentingan Rakyat, Tidak Bermusim – Noraini

GUA MUSANG, 13 Ogos – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tumpuan parti itu terhadap kepentingan serta kebajikan rakyat bukanlah bermusim sebaliknya terus konsisten.

Menurut beliau pelbagai dakwaan songsang oleh sesetengah pihak hanyalah sekadar bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang bakal berlangsung Sabtu ini.

“Mereka takkan rasa puas hati pun… apa juga yang kita buat, kita laksanakan, mereka akan anggap itu semua helah kita untuk mendapat undi dan sebagainya, tapi  kita kena tengok diri kita sendiri.

“Saya tengok calon Pas kata nak bawa beberapa perkara sepertimana manifestonya. Ada satu yang saya tengok, yang fokus adalah mengenai wanita… yang dia cuba nak bawa di Nenggiri sebenarnya banyak dah kita di peringkat kerajaan pusat telah laksanakan.

“Seperti bantuan ibu tunggal… bantuan ibu tunggal sendiri pun, sekiranya layak, kita di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat juga ada memberi bantuan terhadap ibu tunggal, warga-warga emas yang memerlukan termasuklah pelbagai bantuan lain yang telah kita laksanakan dan kita berikan. Itu contoh yang dapat saya berikan,” katanya kepada UMNO-Online.

Noraini seterusnya berharap pengundi serta masyarakat setempat tidak mudah termakan dengan pelbagai hasutan yang dilakukan oleh pihak tertentu menjelang tempoh akhir berkempen nanti.

“Kita kena tenang, kita kena fokus dan bagi peluang kepada BN. Perjuangan BN tak kira masa. Dan sememangnya sentiasa berjuang untuk rakyat. Apa yang rakyat suarakan itu selalunya, kami akan buat sebaik mungkin untuk melaksanakan apa juga permintaan daripada rakyat berdasarkan kemampuan, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.