PRK Nenggiri: Jangan Sia-Siakan Peluang Terbaik Pasca PRN

GUA MUSANG, 12 Ogos – Masyakat terutama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan sahaja berpeluang untuk memilih ‘Yang Berkhidmat’ daripada Barisan Nasional (BN) untuk kawasan berkenaan pada Sabtu ini malah sebagai jambatan kepada kerajaan pusat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata peluang berkenaan yang datang sekali lagi pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu harus digunakan sebaik mungkin agar masyarakat Nenggiri mendapat seorang wakil rakyat yang boleh diharapkan.

Menurut beliau dengan kepercayaan kepada calon daripada BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sudah pasti segala pembelaan kepada masyarakat Nenggiri dipermudahkan.

“BN hari ini berada di dalam Kerajaan Perpaduan yang sudah pasti akan memudahkan Azmawi atau lebih dikenali Awie untuk berperanan sebaik mungkin.

“Pada masa yang sama dengan kepercayaan kepada beliau juga akan ada pertambahan wakil pembangkang di DUN nanti dan ia boleh menjadi semak dan imbang bersama dua lagi rakan pembangkang yang lain.

“Sudah pasti segala agenda dan permasalahan yang ada kaitan dengan rakyat Nenggiri dan rakyat Kelantan yang lain akan dapat disuarakan bersama dua lagi pembangkang sedia ada. Dengan kata lainnya tidak rugi memilih Awie pada Sabtu ini,” katanya kepada UMNO Online.

Sharkar seterusnya menambah peluang dan ruang yang ada tidak harus disia-siakan sebaliknya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengundi di DUN berkenaan.

“Apa pun kita serahkan kepada pengundi di sini… kita percaya mereka cukup bijak untuk membuat penilaian sebaiknya dan sudah pasti Awie seharusnya menjadi pilihan untuk diberi kepercayaan sekaligus menjadi jambatan antara Nenggiri dan kerajaan pusat,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada Sabtu, 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang ditetapkan pada esok.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah merupakan PRK pertama selepas PRN Kelantan ke-15.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.