PRK Nenggiri: Calon BN Mesra, Cakna Dan Diterima Pelbagai Lapisan Masyarakat

GUA MUSANG, 12 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai ‘Awie’ menjadi perhatian penduduk di sini, yang jelas begitu teruja dengan kepercayaan pemimpin parti meletakkan golongan muda untuk menjadi wakil rakyat.

Tinjauan UMNO Online mendapati penduduk setempat sepakat menyokong usaha yang mahu dilaksanakan Awie bagi merealisasikan impian rakyat Nenggiri.

Bagi Mohd Khairul Azhan Mat Yusof, 50, pesara tentera dan pengundi Renok berkata Mohd Azmawi Fikri adalah calon yang terbaik dan beliau layak memimpin DUN Nenggiri.

“Azmawi adalah calon yang sebaik-baiknya dan selayak-layaknya untuk memimpin DUN Nenggiri. Beliau mempunyai komitmen yang berbeza serta punyai karisma, kaliber dan wawasan serta dikenali ramai.

“Kita ambil penekanan bahawa BN cakna terhadap pengundi muda dan tua. Itulah yang akan beri kejayaan pada BN,” katanya.

Dalam pada itu menurut Kartini Muhammad, 45, suri rumah dan pengundi di Renok menjelaskan calon BN seorang yang aktif dan rajin menjalankan pelbagai program di kawasan ini.

“Rakyat Nenggiri menerima calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan beliau aktif menjalankan pelbagai program untuk mendampingi pengundi pelbagai peringkat usia.

“Insya-Allah, dengan kerja keras yang dilakukan oleh Azmawi dan pada PRK ini, BN akan dapat merampas kembali kerusi yang diwarisi selama ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Zakiah Che Man, 62, suri rumah, pengundi Sungai Asap menyeru semua pengundi sama ada penyokong UMNO/BN dan masyarakat setempat untuk terus kekal menyokong dan beri undi pada Awie.

“Saya menyeru pengundi UMNO dan BN kekalkan sokongan dan yakin bahawa kita akan peroleh kemenangan.

“Saya mengharap agar pengundi di DUN Nenggiri kali ini tidak terkeliru dengan propaganda pihak pembangkang yang cuba mengelirukan orang ramai,” jelas beliau.

Seterusnya bagi anak muda Mohd Farid Ismail, 21, yang berkerja sendiri dan menjadi pengundi Bertam Baharu berharap anak-anak muda di DUN Nenggiri ini menggunakan peluang sebaik-baiknya demi mengembalikan kestabilan politik.

“Saya harap anak muda gunalah peluang yang diberi ini dengan sebaik mungkin, dengan turut memainkan peranan bagi mengembalikan kestabilan politik iaitu memilih pemimpin yang benar-benar kompeten untuk mentadbir negeri. 

“Pemilihan pemimpin yang layak, cekap dan mampu menjalankan tugas dengan sempurna sudah tentu akan dapat memacu negeri ini ke landasan yang betul dan bergerak ke hadapan meliputi semua aspek termasuk mengukuhkan ekonomi, kestabilan politik dan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di DUN Nenggiri ini.

“Kepada pengundi muda, anda semua perlu sensitif dan cakna kepada semua perkembangan. Ini kerana ia akhirnya bakal menentukan nasib dan masa depan anda semua. Mengundilah dengan bijak,” katanya.

PRK DUN Nenggiri ini menyaksikan dua pertembungan antara BN dan Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada esok dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit