PRK Nenggiri: BN Tawar Komitmen Wakil Rakyat, Tiada Manifesto Pelbagai Janji – Ahmad Jazlan
GUA MUSANG, 12 Ogos – Barisan Nasional (BN) tidak akan melancarkan manifesto dengan pelbagai janji bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sebaliknya hanya akan memberikan satu tawaran iaitu komitmen wakil rakyat bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.
Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata tidak ada gunanya melancarkan manifesto sekiranya janji yang ditawarkan tidak dapat ditunaikan.
“Bagi kita untuk PRK kali ini, kita tidak akan keluarkan manifesto, kita hanya ada satu manifesto…wakil rakyat kita sekiranya diberikan mandat oleh rakyat akan berkhidmat dan menyelami permasalahan rakyat Nenggiri.
“Yang penting kita berkhidmat kepada rakyat, apa guna melancarkan dan buat manifesto kalau manifesto Pilihan Raya Umum 1990 tidak selesai sampai hari ini,” katanya yang merujuk kepada manifesto oleh parti Pas dalam sidang media di sini, hari ini.
Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata beliau menyerahkan kepada kematangan pengundi di DUN Nenggiri untuk membuat keputusan, Sabtu ini.
“Inilah pemimpin UMNO, 34 tahun di negeri Kelantan…UMNO yang membangunkan Kelantan bukan kerajaan negeri Pas, contohnya Projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR), dia (Pas) janji dalam manifesto nak buat lebuh raya rakyat, akhirnya siapa yang menyempurnakan dan melengkapkan? Kerajaan Pusat,” katanya.
PRK DUN Nenggiri pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.- BERNAMA