Pilih Calon BN Tindakan Tepat… Jambatan Kepada Kerajaan Pusat Untuk Nenggiri
GUA MUSANG, 12 Ogos – Pilihan yang tepat oleh pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani membolehkan beliau menjadi penghubung antara masyarakat setempat dengan kerajaan di peringkat pusat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata apatah lagi Gua Musang yang mempunyai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta pelbagai agensi yang lain sudah pasti akan memudahkan segala perancangan dan penyelesaian masalah penduduk setempat.
Dengan kata lain jelas beliau Awie jika dipilih nanti sudah pasti mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta berkesan dan sudah pasti bakal memberi keuntungan kepada masyarakat DUN Nenggiri.
“Gua Musang ini adalah satu jajahan di dalam negeri Kelantan yang saya pikir agensi Kerajaan Persekutuan ada di Gua Musang seperti KESEDAR. Ibu pejabat KESEDAR pun di Gua Musang dan Nenggiri ini sebahagian besar daripada perkampungan yang termasuk dalam KESEDAR.
“Jadi dari segi tumpuan untuk menolong rakyat seperti kemudahan jalan, kemudahan struktur, kemudahan perumahan, kemudahan lain-lain boleh melalui KESEDAR.
“Kemudian agensi kerajaan yang lain juga ada di sini, RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) yang ada kaitan dengan Getah ada di sini. Kemudian ada MARA (Majlis Amanah Rakyat), ada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian yang merupakan agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu beliau turut melihat momentum kempen daripada pelbagai peringkat jentera parti amat baik dan percaya ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa memasuki fasa kedua kempen.
”Alhamdulillah kita dah bergerak dengan pelbagai program dan juga dari rumah ke rumah dan saya dapat lihat bahawa pengundi merasa begitu mesra dengan calon kita.
“Jadi saya punya keyakinan insya-Allah… kita ada satu minggu lagi ke depan untuk tingkatkan keupayaan momentum kempen sebaiknya,” ujarnya. – UMNO Online