PAU 2024: UMNO Perlu Segar Bawa Aspirasi Rakyat Tambat Hati Semua Golongan – Azhari

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini membawa lembaran baharu kepada semangat perjuangan dalam kalangan ahli parti untuk terus memperkukuh parti keramat ini.

Menurut beliau, ia penting bagi memastikan parti ini terus segar dalam usaha menambat hati anak muda untuk bersama dengan UMNO.

“Kita kena perlu dilihat segar semula tak nak dilihat sebagai parti lama, parti orang tua yang antara faktor orang muda tidak mahu mendekati UMNO.

“Harapan kami amat tinggi di mana satu gelombang yang hebat yang akan memberi impak yang kuat iaitu terhadap rakyat terutama orang muda untuk kembali meyakini UMNO,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu berkata dinamika politik hari ini juga menuntut pelbagai pendekatan baharu untuk memastikan parti keramat ini kekal relevan.

Kata beliau ia termasuk sebagai persiapan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“Saya harapkan usul pada kali ini akan membawa aura, impak yang kuat. Bila selesainya PAU depan nanti adanya kaedah dan ilmu yang akan dibawa balik sebagai bekalan dengan semangat baru untuk menghadapi cabaran baru.

“Jadi sebagai ketua UMNO bahagian, saya sentiasa menitikberatkan asas perjuangan kita, memberi tumpuan kepada khidmat bakti rakyat walaupun kita sebagai sebahagian daripada kerajaan tidak semestinya tanpa kerusi untuk dipertandingkan.

“Itu adalah satu perkara yang utama setidak-tidaknya akan jadi sebahagian kepada pelengkap kepada kemenangan besar pada UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum ke-16.

“Dan usul-usul yang dibawa adalah usul yang kami harapkan iaitu usul untuk satu kaedah rejuvenasi parti dengan kaedah-kaedah yang terkini, sistem melalui pendekatan yang baru,” ujar beliau.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian yang bermula 21 Jun hingga 29 Julai telah berlangsung dengan jayanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.