Malaysia Komited Bantu Palestin Bangunkan Ekonominya, MoU Kerjasama Perdagangan Akan Dimeterai
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh, ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ujar Tengku Zafrul, bagi tujuan itu Jemaah Menteri bersetuju supaya Malaysia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin.
“MoU ini akan saya tandatangani bagi pihak Kerajaan Malaysia bersama rakan sejawat saya dari Palestin.
“Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada tahun 2023 telah mencatat peningkatan sebanyak 52.1%, iaitu sebanyak RM20.8 juta berbanding tahun 2022.
“MoU ini insya-Allah akan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya yang telah menerima kunjungan dari Duta Besar Palestin ke Malaysia TYT Walid Abu Ali di Menara MITI, di sini pagi tadi.
Justeru, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyeru semua bersama membangunkan ekonomi Palestin.
Selain itu ujar Tengku Zafrul, Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin (Malaysia-Palestine Joint Business Council) juga akan ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama di kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
“Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin.
“Kerajaan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara sahabat untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi isu Palestin,” katanya. – UMNO ONLINE