Kerajaan Komited Selesaikan Isu Pemilikan Tanah Peneroka Melalui Kaedah Faraid

GUA MUSANG, 12 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kerajaan akan menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka dan peserta kesemua agensi di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah melalui kaedah faraid.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menjelaskan bahawa penggunaan kaedah faraid ini penting untuk mengelakkan masalah yang timbul apabila pewarisan tanah diberikan hanya kepada anak sulung keluarga peneroka yang telah meninggal dunia.

“Kaedah faraid akan digunakan bagi mengelak permasalahan antara ahli-ahli keluarga yang mempunyai lebih daripada satu anak.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan apabila memberikan pemilikan kepada pewaris anak sulung dalam keluarga peneroka yang sudah meninggal dunia.

“Ia dilaksanakan bagi mengelak sebarang masalah yang timbul berbanding pemberian pemilikan kepada anak sulung sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata kepada media pada program Temu Mata bersama Masyarakat Jeram Tekoh, di Dewan GDW KESEDAR Jeram Tekoh, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Operasi Pilihan Raya merangkap Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim; calon BN DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani serta penduduk di Jeram Tekoh. 

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menjelaskan bahawa pihak kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Mahkamah Syariah serta pihak berkuasa agama negeri untuk memastikan pelaksanaan kaedah faraid ini dilakukan dengan betul dan adil.

“Isu pemilikan tanah ini melibatkan beberapa agensi termasuk KESEDAR dan Felda. Penting untuk difahami bahawa tanah yang telah dibayar premium dan gerannya diberikan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah adalah milik agensi berkenaan, bukan kerajaan negeri.

“Tanah milikan Lembaga Kemajuan Wilayah membabitkan beberapa agensi termasuk di KESEDAR dan Felda yang sudah dibayar premium adalah milik agensi berkenaan serta bukannya kerajaan negeri,” katanya lagi.

Beliau juga Presiden UMNO, menegaskan bahawa mengikut Kanun Tanah Negara, tanah yang telah dibayar premium dan diberikan geran kepada Lembaga Kemajuan Wilayah tidak lagi menjadi hak milik kerajaan negeri.

“Hak untuk mengagihkan tanah tersebut kini berada di bawah kuasa agensi-agensi ini, dan saya berharap para peneroka tidak terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan yang tidak benar,” tambah beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.