UMNO Semakin Harmoni Selepas Proses Pemutihan Ahli – Wan Rosdy

JELAI, 11 Ogos – Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata selepas proses pemutihan ahli, parti kini berada di dalam keadaan aman dan harmoni.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu, tindakan yang dilakukan oleh parti jelas memperlihatkan satu usaha untuk memastikan UMNO terus mengorak langkah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya sangat bersetuju dengan Presiden yang telah membuat pemutihan (ahli) dan apabila berlaku pemutihan, lihatlah mesyuarat UMNO, MKT (Majlis Kerja Tertinggi) sudah tiada dua mesyuarat.

“Selepas dibuat pemutihan kita nampak UMNO begitu harmoni dan Insya-Allah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kita akan dapat pertambahan kerusi lebih banyak daripada sekarang,” katanya dalam ucapan di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Dewan Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini, pada Sabtu.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Ab Hamid Nazahar dan beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Selanjutnya tambah Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, UMNO kini berada di dalam landasan yang cukup baik untuk kembali kukuh.

“Kita berada di dalam landasan yang cukup baik, yang penting sesama kita kena hilangkan masalah dalaman, titik-bengik abaikan dan fokus.

“Sepertimana pesanan saya kepada jentera yang membantu di Nenggiri ‘kegagalan bukan satu pilihan’ dan mengikut gerak kerja dan laporan yang diterima, insya-Allah PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang Pahang jaga kita akan pastikan Barisan Nasional (BN) menang,” katanya.

Tambahnya juga, Ahli UMNO Bahagian Cameron Highlands adalah ‘orang parti’ yang sentiasa mendukung setiap keputusan demi kepentingan parti.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Wan Rosdy juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli akar umbi yang telah berjaya menjalankan mesyuarat agung cawangan dengan amat baik.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan di dalam UMNO Bahagian Cameron Highlands yang telah berjaya menjalankan mesyuarat masing-masing dengan lancar dan licinnya.

“Ini jelas terbukti kita mengiyakan bahawa 21 ribu cawangan di seluruh negara tidak ada satu cawangan yang dibubarkan. Ini menunjukkan bahawa orang-orang Melayu dan UMNO masih sayang kepada parti,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapannya juga Wan Rosdy memuji ketegasan Ahmad Zahid yang tidak menurut kata Perdana Menteri Ketujuh Tun Mahathir Mohamad yang mahu membubarkan UMNO.

“Malahan sanggup berhadapan dengan tindakan mahkamah dan sedangkan ketika itu ramai yang lompat ke sebelah sana kerana takut. Presiden kita bukan takut dan bacul malah beliau hero kepada UMNO.

“Beliau mampu memimpin UMNO hingga ke tahap ini berkat kesabaran, kesungguhan dan komitmen sehingga menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan banyak membantu parti.

“Dalam keadaan beliau diserang, UMNO dikutuk, Presiden tidak pernah putus asa malah sentiasa beri dorongan dan semangat kepada ahli-ahli UMNO… dan beliau juga optimis,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.