PRK Nenggiri: Suasana Kempen Mula Rancak Memasuki Fasa Kedua

GUA MUSANG, 11 Ogos – Suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sudah masuk fasa kedua dilihat makin rancak dengan pelbagai ragam dan jentera parti kedua-dua pihak yang bertanding melaksanakan pelbagai pendekatan mendekati pengundi.

Bagi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, tempoh kempen yang masih ada akan terus digunakan sebaiknya dan pada Jumaat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Terkoh, kehadiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama jentera yang lain memeriahkan lagi suasana.

Sambutan daripada penduduk kampung yang minum pagi di warung kopi dengan kehadiran Bung bersama calon BN membolehkan masing-masing bukan sahaja berborak santai malah bertanya khabar antara satu sama lain.

Bagi Bung suasana tersebut menggambarkan hakikat yang sebaiknya dan gerak kerja perlu terus dilipatgandakan.

“Saya lihat seluruh jentera berjalan dengan baik dan kita menemui semua pengundi di semua PDM… ini penting dan calon perlu berjumpa dengan pengundi dan kita ‘backup’ jentera pula di pelbagai peringkat bergerak seiring dengan apa yang kita rancang.

“Calon kita anak muda bukan sahaja berkhidmat pada hari ini tetapi telah berkhidmat sejak sekian lama di sini. Apa pun cabaran insya-Allah kita mampu tangani sebaiknya,” ujarnya.

Tambahnya mana-mana pilihan raya ia memerlukan angka dan usaha berterusan perlu dilipatgandakan malah Nenggiri boleh jadi kebangkitan BN Kelantan.

“Realiti kita ceritakan kepada masyarakat setempat dan bukan lagi cerita dongeng. UMNO Kelantan bangkit bermula di Nenggiri, insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit