PRK Nenggiri: Peluang Kemenangan BN Amat Dekat, Manfaatkan Media Sosial – Mohd Rafi

GUA MUSANG, 11 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan melihat sokongan yang diberikan rakyat pada calon Barisan Nasional (BN) pada fasa kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri begitu positif.

Menurutnya, jentera-jentera BN harus memanfaatkan sokongan tersebut dan mempopularkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie terutamanya dalam platform media sosial selain menggunakan pendekatan konvensional.

“Bagi fasa kedua ini harap jentera-jentera BN di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) menggunakan media sosial untuk popularkan calon dan parti BN. Kita tahu peranan media sosial ini sangat besar untuk mempopularkan calon dan parti itu sendiri.

“Kepada jentera parti dari atas sehingga ke bawah, gunakan media sosial ini sebagai platform untuk mendekatkan calon BN dengan pengundi-pengundi khususnya di DUN Nenggiri.

“Rata-rata pengundi di Nenggiri ini cukup mengenali calon BN dan ini sebenarnya adalah kekuatan untuk UMNO/BN. Kita sama-sama berusaha, peluang kemenangan amat dekat kepada BN. DUN Nenggiri adalah kubu kuat UMNO/BN dari dulu lagi,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di PDM Sungai Asap, di sini.

Rafi yang juga Ketua UMNO bahagian Labuan berharap agar para pengundi di DUN Nenggiri ini gunakan peluang sebaik-baiknya dengan memilih Awie yang bakal menjadi jambatan perhubungan antara Nenggiri dan Kerajaan Persekutuan.

“Gunakanlah peluang ini sebaiknya dan pastikan 17 Ogos ini, pangkah Awie dan BN. Rakyat di Nenggiri ini amat mengharap pembangunan dari kerajaan persekutuan. Ini adalah peluang dan gunakan Awie sebagai penghubung membawa suara masyarakat Nenggiri.

“Beliau juga wakil dari Kerajaan Perpaduan dan sudah pasti suara akan di bawa dan di dengar serta membawa limpahan kepada warga Nenggiri,” jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu hari ini diikuti pengundian pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit