BN Berpotensi Kuat Untuk Menang Di DUN Nenggiri – Ahmad Maslan

GUA MUSANG, 11 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan keyakinan yang semakin meningkat terhadap peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie akan memberi sokongan tambahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dalam usaha membangunkan kawasan DUN Nenggiri.

“Saya semakin bertambah keyakinan mudah-mudahan BN boleh berjaya dan Awie berjaya menjadi ADUN di tempat ini untuk membantu ADUN Galas, Mohd Shahbuddin Hashim di kawasan ini.

“Saya ada keyakinan bahawa jentera UMNO/BN semakin mantap. Ramai jentera dari seluruh negeri hadir dan membantu jentera tempatan bagi memastikan UMNO/BN dapat kembali merampas semula kerusi DUN Nenggiri.

“Awie perlu dijadikan jambatan dan penghubung antara rakyat dan Kerajaan Pusat. Ini adalah penting kerana kawasan DUN Nenggiri dijaga oleh Kerajaan Pusat dan pelbagai agensinya,”katanya ketika ditemui UMNO Online di Limau Kasturi, di sini. 

Tambah Ketua UMNO Bahagian Pontian, adalah penting untuk menambah bilangan ADUN pembangkang yang kuat bagi memastikan adanya mekanisme semak dan imbang yang berkesan, mampu menegur dan memperbetulkan sebarang kesilapan dalam pentadbiran.

Tegasnya, jika kerajaan negeri hanya mempunyai sedikit kerusi pembangkang, ia berpotensi membawa kepada penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah atau ketidakcekapan dalam pentadbiran.

“Jika sesebuah kerajaan negeri hanya sedikit kerusi pembangkang, tidak mustahil kerajaan itu boleh jadi akan salah guna kuasa, rasuah atau pun makan gaji buta. Kita perlu menambahkan ADUN pembangkang yang kuat untuk menjadi semak dan imbang bagi menegur serta memperbetulkan apa yang silap kerana kita tidak sempurna.

“Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, lebih daripada 30% penduduk di Negeri Kelantan tidak menyokong kerajaan yang sedia ada, yang menunjukkan keperluan untuk perubahan politik,” jelas beliau.

Namun, Ahmad Maslan turut mengingatkan bahawa jika wakil Kerajaan Negeri tidak sehaluan dengan agensi-agensi pusat, ia boleh menimbulkan masalah dalam melaksanakan projek pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Pada masa yang sama Ahmad Maslan merayu kepada penduduk dan pengundi di DUN Nenggiri untuk menyokong Awie dan memahami kepentingan hubungan antara Kerajaan Pusat dan rakyat di kawasan tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.