Bandar Perabut Tak Siap Tapi Jadi Projek Ladang Hutan – Syahbuddin Hashim

GUA MUSANG, 11 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim harap kewujudan Bandar Perabut bakal menjadi kenyataan cepat atau lambat.

Tegasnya, rakyat Gua Musang ternanti-nanti dengan harapan penuh tinggi agar projek Bandar Perabut ini dapat dilaksanakan agar mereka mudah mencari peluang pekerjaan.

“Dengan wujudnya pelaburan Projek Bandar Perabut ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di Gua Musang tetapi sehingga kini (2024) ianya masih tidak menjadi kenyataan.

“Semasa sidang DUN, Kerajaan Negeri Kelantan memberikan pelbagai alasan yang kononnya pandemik COVID-19 menyebabkan projek Bandar Perabut ini tertangguh. Kini, apa masalah sebenar yang berlaku menjadi penyebab kelewatan projek ini?

“Saya menaruh sedikit kebimbangan sekiranya nanti Bandar Perabut gagal tapi ‘projek ladang hutan’ sahaja yang menjadi kenyataan oleh pemaju atau penggerak projek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Dewan Rakyat Bukit Cekati, Gua Musang, di sini.

Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berharap perkara tersebut dapat dijawab secara terus oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang BN Negeri Kelantan, saya mahu perkara ini dijawab terus oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Sebagai wakil kepada suara semak dan imbang kerajaan negeri, maka menjadi tanggungjawab saya untuk bertanya kepada kerajaan negeri.

“Kami telah mengesan melalui kelulusan EIA tahun 2023 terdapat tiga projek ladang hutan di bawah syarikat MCkift Management Committee Sdn Bhd sebagai penggerak projek berkenaan selain kelulusan 350 ekar tanah tapak Bandar Perabut itu.

“Kelulusan tersebut sebanyak 1,169 hektar atau 2889 ekar dengan pembahagian iaitu Projek Ladang Hutan sebanyak 400 hektar bertempat di Sungai Berok, Ulu Nenggiri, daerah Bertam dan diluluskan pada 29 November 2023. Projek Ladang Hutan sebanyak 366 hektar di sungai betis dan diluluskan pada 7 November 2023,” ujarnya. 

Tegasnya lagi, terakhir projek ladang hutan sebanyak 404 hektar di Sungai Betis, Ulu Nenggiri dan diluluskan pada 29 Mei 2023. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.