17 Ogos Hari Penting Masyarakat Nenggiri, Peluang Pilih Awie – Dr Shamsul

GUA MUSANG, 10 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat keputusan pada 17 Ogos nanti adalah amat penting untuk masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Bagi beliau peluang yang ada adalah kesempatan terbaik untuk pengundi membuat pilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan memilih seorang anak muda yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Kita ada beberapa hari sahaja lagi untuk rakyat di Nenggiri membuat keputusan bagi memilih wakil mereka di DUN Kelantan. Saya berharap rakyat di Nenggiri memberi peluang kepada Azmawi atau lebih dikenali Awie. Seorang tokoh muda, pemimpin muda bagi negeri Kelantan untuk menjadi wakil bagi rakyat di kawasan ini.

“Dengan adanya wakil kita di DUN Kelantan, tentunya beliau boleh membawa suara… bukan hanya suara rakyat di sini, tapi tentulah juga suara rakyat di Kelantan. Apa yang penting juga, kita kena bagi kepercayaan kepada beliau supaya ada tokoh daripada parti lain di DUN Kelantan agar menjadi ‘check and balance’,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya lagi perlu ada parti lain sebagai semak dan imbang agar kerajaan negeri lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya dalam soal pentadbiran dan sebagainya.

“Sebab itu saya harap rakyat di Nenggiri memberi peluang kepada tokoh ini. Ini tokoh yang dipilih dan kita percaya memenuhi ciri-ciri yang diinginkan oleh rakyat di Nenggiri.

“Tokoh muda, berpendidikan, mesra rakyat dan paling penting kita yakin diterima oleh orang muda, termasuklah kelompok-kelompok rakyat yang pelbagai. Insya-Allah jangan lupa beri kepercayaan kepada Awie,” ujarnya.- UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit