“Saya Akan Tulis Buku Secara ‘Detail’ Mengenainya” – Ahmad Zahid
JELAI, 10 Ogos – “Saya tidak mahu cerita ‘detail’ (terperinci), saya fikir nanti saya akan tulis buku secara ‘detail’ mengenainya.”
Demikian kata Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mendedahkan beliau sebagai perancang utama menjatuhkan Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.
Ini kerana katanya ekoran Tun Mahathir yang ketika itu juga sebagai Pengerusi PPBM telah bertindak mahu mengharamkan UMNO serta pelbagai tindakan dibuat untuk menghina UMNO.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di sini hari ini.
Dalam ucapannya Ahmad Zahid menyentuh mengenai perjuangan, pengorbanan serta pelbagai tindakan yang dilakukannya dalam memastikan survival UMNO di persada politik tanah air selepas pasca PRU-14 lalu.
Jelasnya, setelah diberi tanggungjawab oleh UMNO dan bekas Presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk memimpin parti, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi memastikan UMNO tetap wujud dan terus relevan walaupun diasak oleh Tun Mahathir dan Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden PPBM yang mahu mengharamkan UMNO.
“Saya mengambil kebertanggungjawaban bahawa UMNO di dalam keadaan seberat dan selemah manapun, sebagai seorang yang dilantik oleh Datuk Seri Najib sebagai Setiausaha Politiknya mulai 1 Oktober 1987, tentu apa juga arahan yang telah diberikan oleh beliau kepada saya, saya ambil tanggungjawab ini sepenuhnya dalam keadaan serba sukar.
“Semua tahu buat pertama kalinya kita tidak dapat membentuk kerajaan ketika itu (selepas PRU-14) dan jawatan hakiki saya hanya sebagai Naib Presiden nombor satu. Ketika itu jawatan Timbalan Presiden tidak diisi sebab Tan Sri Muhyiddin dah kena pecat. Saya menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden ketika menjadi Naib Presiden nombor satu. Kemudian… saya menjalankan tugas-tugas Presiden dan begitu sukar kerana saya diserang dari luar apatah lagi dari dalam.
“…tetapi demi UMNO, saya tidak akan pernah meninggalkan UMNO biarpun serangan bertubi-tubi disimbah kepada saya,” katanya.
Majlis yang bermula pada jam 11 pagi di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Ab Hamid Nazahar, beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan kepimpinan UMNO Negeri Pahang.
Selanjutnya, Ahmad Zahid turut mengimbau selepas PRU-14, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang selama 22 bulan dan beliau berusaha agar parti kembali menjadi kerajaan.
“Selepas itu, apabila saya mengetahui UMNO mahu diharamkan dan ini disahkan oleh Datuk Seri Anwar (Perdana Menteri-Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika kita berada di ILMU, Janda Baik dan beliau mengatakan kepada semua kepimpinan UMNO seluruh negara bahawa kertas untuk mengharamkan UMNO telah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri ketika Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin.
“Jadi, dalam situasi sebegitu tentu ahli-ahli apatah lagi kepimpinan daripada UMNO mengharapkan kepada saya bagaimana cara yang terbaik supaya UMNO tidak diharamkan.
“Pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 ketika penangguhan saya menyatakan bahawa dalam waktu terdekat bahawa UMNO akan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Ketika itu saya diejek oleh beberapa individu tertentu yang (kini) sudah tiada di dalam UMNO,” katanya.
Ahmad Zahid juga memuji semangat ahli dan kepimpinan yang cukup tinggi walaupun parti dalam kesukaran akibat akaun parti dibekukan serta beberapa pemimpin dibawa ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan terpilih.
“Saya mencari jalan untuk kita menjadi kerajaan atau sebahagian daripada kerajaan kerana ketika itu permasalahan PH (Pakatan Harapan) 1.0 amat tajam di antara parti-parti yang menganggotai kerajaan PH 1.0.
“Di Felda Sungai Koyan, Jelai ini saya ingin nyatakan bahawa saya adalah dalang utama yang menjatuhkan Dr Mahathir ketika itu. Demi UMNO, mana mungkin UMNO diharamkan, dihina, dijatuhkan dengan pelbagai fitnah… dipijak dan dihina…
“Saya tidak mahu cerita ‘detail’, saya fikir nanti saya akan tulis buku secara ‘detail’ mengenainya. Cukuplah setakat saya mengatakan bahawa rakan-rakan di dalam UMNO merasakan keberanian yang luar biasa harus dibuat untuk menolak Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang cuba mengharamkan UMNO,” katanya sambil berkata buku tersebut akan dihasilkan apabila tiba masa kelak.
Ahmad Zahid juga menceritakan bagaimana usahanya menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan kerana banyak mengingkari janji dan memandang rendah kepada UMNO yang baginya mudah dibeli dengan ‘scheme of things’.
“Saya tidak pernah mendiamkan diri ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Parlimen digantung, rakyat dikurung akibat COVID-19 dan pelbagai lagi termasuk mengeluarkan wang simpanan dan ‘fixed deposit’ serta ‘heritage fund’ daripada Petronas habis keluar ketika itu.
“Saya tidak bersetuju dengan beliau maka saya mencari jalan supaya Muhyiddin diganti dengan orang lain,” katanya. – UMNO Online