Perlu Kerja Lebih Kuat Untuk Pikat Hati Pengundi – Azmawi
GUA MUSANG, 10 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan terus berkerja kuat untuk memenangi hati pengundi pada pilihan raya ini.
Jelasnya, bukan sekadar berkerja kuat tapi beliau harus memikat hati para pengundi agar mengundi Barisan Nasional (BN).
“Kena kerja lebih keras. Saya kena jumpa seramai mana pengundi seperti minggu lepas. Saya turun ke gelanggang PRK dengan kekalahan sebanyak 810 undi semasa di Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Saya perlu kerja kuat, kuat dan lebih kuat bagi memenangi hati pengundi. Anak-anak muda perlukan peluang pekerjaan, perumahan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan bolasepak persahabatan di padang bolasepak Sungai Asap, Nenggiri.
Tambah Awie lagi, beliau sedang membincangkan manifesto dengan kepimpinan kerana tidak mahu ia hanya sekadar manifesto sahaja.
“Saya tengah berbincang dengan pihak kepimpinan dan kita kena selaraskan. Saya tidak mahu manifesto ini hanya sekadar manifesto.
“Apabila kita berjaya harus dilaksanakan manifesto ini dan biarlah yang mampu dilaksanakan. Saya dan anak muda tidak mahu retorik,” katanya lagi.
Terdahulu, calon BN telah menyertai permaian persahabatan bola sepak antara selebriti dan bekas pemain Kelantan serta Pemuda UMNO Sungai Asap.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu hari ini diikuti pengundian pada 17 Ogos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online