Pengaktifan Mesin ATM Di DUN Nenggiri Disegerakan – MOF

GUA MUSANG, 10 Ogos – Pengaktifan perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di sini, akan dipercepatkan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat dan akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas itu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan pihak kementerian mengambil maklum laporan yang diterima mengenai kesukaran penduduk di DUN Nenggiri untuk mengakses mesin ATM, yang memaksa mereka melakukan perjalanan sejauh 50 kilometer untuk ke Gua Musang.

“Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan mesin ATM di DUN Nenggiri dan ia mendapat respons positif,” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan, khususnya dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ATM dapat diperluaskan.

Menurut kementerian itu, orang ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses mesin ATM di kawasan mereka boleh menghubungi MOF melalui ukk@treasury.gov.my atau talian 03-8000 8000.

Isnin lalu, sebuah media tempatan melaporkan lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri, yang kini menjadi tumpuan kerana pilihan raya kecil (PRK), terpaksa memandu hampir 45 minit untuk mengakses mesin ATM terdekat.

Rintihan penduduk turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK itu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjanji untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan menghubungi pihak berkaitan.

“Ambo (saya) terbaca rintihan daripada penduduk Nenggiri yang inginkan ATM. Ambo (saya) akan usahakan segera untuk letak ATM di kawasan berkenaan, ambo (saya) akan hubungi bank yang boleh bantu merealisasi perkara ini.

“Tiada janji tapi lihatlah bukti. Undi calon nombor dua,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik melalui akaun TikToknya, semalam.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.

Ia diadakan susulan kekosongan kerusi berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.