Rakyat Nenggiri Mahukan Perubahan, Awie Jambatan Penghubung DUN Dan Kerajaan Pusat
GUA MUSANG, 9 Ogos – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menginginkan perubahan dan menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Katanya, sokongan yang diberikan rakyat Nenggiri kepada Mohd Azmawi Fikri yang lebih dikenali dengan panggilan Awie dianggap sebagai jambatan penghubung antara DUN Nenggiri dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya melihat rakyat kawasan DUN Nenggiri menginginkan sedikit perubahan yang mana kita mahukan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menjadi jambatan penghubung antara DUN dan juga Kerajaan Persekutuan. Kita perlu membuat beberapa pembangunan selari dengan Pusat bagi memudahkan rakyat Nenggiri mendapat manfaat.
“Saya sangat-sangat merayu kepada seluruh rakyat DUN Nenggiri, bersama-sama mengundi calon BN dan menang dengan bergaya dan menjadi jambatan untuk dapatkan lebih banyak pertolongan dan juga manfaat untuk kawasan ini.
“Insya-Allah… kali ini kita akan melihat sedikit perubahan yang mana perubahan itu akan membawa kebaikan kepada rakyat DUN Nenggiri,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di Kampung Kala, PDM Star, Nenggiri, di sini.
Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor menzahirkan penghargaan kepada jentera Wanita UMNO/BN yang sentiasa bertungkus lumus tanpa penat lelah menyantuni semua pengundi di kawasan ini.
“Kepada jentera-jentera Wanita UMNO/BN saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih walaupun dalam keadaan yang sangat singkat ini mereka telah menyantuni pengundi-pengundi dari rumah ke rumah serta memberikan penjelasan mengapa perlu mengundi BN.
“Saya nampak jentera Wanita UMNO/BN telah lama turun ke kawasan-kawasan dan menyantuni rumah-rumah sejak selepas Pelancaran Jentera BN baru-baru ini. Teruskan usaha kita sehingga 17 Ogos nanti. Kita kuatkan semangat dan yang penting adalah perjuangan UMNO/BN untuk masyarakat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kata Norliza lagi, rakyat DUN Nenggiri begitu beruntung kerana mempunyai calon BN yang memahami segala permasalahan rakyat.
“Untungnya rakyat DUN Nenggiri kerana Awie memahami segala permasalahan yang dihadapi masyarakat di sini kerana beliau pernah berkhidmat selama 13 tahun sebagai pegawai kepada bekas calon DUN Galas dan Nenggiri, Abdul Aziz Yusoff.
“Awie juga adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Gua Musang selama dua penggal berturut-turut. Pada usia beliau yang begitu muda dan banyak menabur bakti. Ini cukup penting untuk kita menangkan beliau kerana beliau adalah calon yang terbaik. Rugi sekiranya rakyat DUN Nenggiri tidak memilih beliau pada 17 Ogos nanti,” ujarnya. – UMNO Online