PRK Nenggiri: Pembangkang Jangan Tabur Fitnah, Berikan Bukti Sahih Ikut Saluran Betul – Ahmad Zahid

GUA MUSANG, 9 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komitmen untuk menyiasat dakwaan parti pembangkang yang kononnya UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menggunakan aset kerajaan ketika kempen dalam  Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sekiranya terdapat bukti yang sahih pembangkang wajar mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Saya akan menyiasat perkara ini dengan serius dan jika mereka (pembangkang) mempunyai bukti, mereka boleh mengemukakannya melalui saluran perundangan yang betul, di bawah akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jangan hanya menuding jari kepada kita (UMNO/BN) mengenai penggunaan jentera kerajaan, tetapi bagaimana pula dengan kerajaan negeri Kelantan?

“Saya yakin bahawa mereka (pembangkang) juga tidak terkecuali menggunakan aset-aset kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Temu Mata di RTK Renok Baharu, Nenggiri.

Turut hadir, Pengarah Operasi Pilihan Raya merangkap Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob; Pengerusi Mara merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim serta penduduk di RTK Renok Baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sepanjang UMNO/BN bersama Kerajaan Perpaduan, kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan adalah yang terbaik.

“Prestasi dan komitmen yang diberikan oleh menteri dan timbalan menteri UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah yang terbaik dan ia akan terus diperkukuhkan.

“Selama 62 tahun negara ini diperintah oleh UMNO/BN dan mempunyai banyak pengalaman mentadbir negara maka menteri dan timbalan menteri dari UMNO/BN telah menggunakan pengalaman tersebut dalam kerajaan ini,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan akan menyelesaikan masalah pemilikan tanah serta penyerahan hak milik tanah tersebut kepada peneroka.

“Ini melibatkan tanah KESEDAR yang membayar premium dan sebenarnya kerajaan negeri tiada hak. Jadi, tanah itu adalah milik KESEDAR dan kita berhak memberi hak milik kepada peneroka.

“Pembahagian pemilikan tanah sudah dijalankan sebelum diadakan pilihan raya lagi namun bagi setiap lot tanah melibatkan keluasan sebanyak sekitar 3.18 hektar. Ia juga turut melibatkan seluruh kawasan KESEDAR dan bukan hanya di kawasan DUN Nenggiri sahaja,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit