PRK Nenggiri: Azmawi Mampu Laksanakan Tugas Sekiranya Diberi Mandat

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin percaya bahawa calon UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri mampu melaksanakan tugas beliau selaku wakil rakyat sekiranya diberi mandat.

Tegasnya, rakyat di kawasan tersebut perlu memilih wakil rakyat dari parti yang sudah semestinya mempunyai trek rekod baik untuk mengemudi kawasan tersebut.

“Pandangan saya sudah tentulah Azmawi… kalau dilihat calon yang lagi satu itu terdapat terlalu banyak akrobatik politik. Azmawi ini ‘is the only’ calon tunggal daripada UMNO dan juga Barisan Nasional (BN), disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Perpaduan.

“Bagi saya di Nenggiri ini adalah persoalan politik sentimen dengan tawaran. Adakah orang Nenggiri masih lagi nak terbuai dengan soal sentimen, hubungan UMNO bersama dengan Dap, siapa lebih Islam, siapa lebih Melayu ataupun mereka memilih wakil daripada kerajaan perpaduan, daripada UMNO/BN yang dah ada trek rekod dan ternyata boleh membantu rakyat di Nenggiri itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman TikTok miliknya.

Ujarnya, rakyat Nenggiri seharusnya memilih tawaran untuk mengubah kehidupan mereka berbanding politik sentimen.

“Saya percaya Azmawi boleh bagi khidmat yang sebaiknya. Azmawi mampu melakukan tugasan beliau sebagai wakil rakyat dengan baik. Malahan saya nampak di UMNO Bahagian Gua Musang pun sebulat suara memilih Azmawi sebagai wakil di DUN Nenggiri.

“Jelas, rakyat Nenggiri ada dua perkara yang perlu dipilih sama ada politik sentimen ataupun tawaran untuk mengubah kehidupan mereka. Go for Azmawi untuk DUN Nenggiri,” katanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon UMNO/BN dan Pas.

UMNO/BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh PPBM pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit