Pentingnya Fungsi Jentera Penerangan Dalam Usaha Perkasa Parti – Abd Rahim
KIMANIS, 9 Ogos – Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kimanis yang diadakan pada Sabtu lalu memberi kesedaran kepada ahli dan akar umbi mengenai betapa pentingnya fungsi jentera penerangan dalam memperkasa parti.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kimanis, Abd Rahim Jalani berkata, Jelajah Penerangan UMNO ini juga membolehkan mereka mengenalpasti kelemahan dan kekuatan terutamanya di bahagian tersebut.
“Apabila kita telah menjemput ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli jawatankuasa ke program ini, banyak info terbaru dan terkini diperolehi. Ini yang kita mahukan kerana kebanyakan daripada ahli ini tidak tahu apa telah berlaku dan apa yang harus kita lakukan.
“Dalam jelajah ini, banyak maklum balas positif diterima daripada peserta. Mereka merasakan banyak maklumat diperolehi dan ada daripada mereka yang terkejut apabila isu-isu yang dilontarkan oleh penceramah lengkap dengan data dan kajian terperinci.
“Jadi, mereka dapat mengenalpasti apakah kekuatan dan kelemahan di Kimanis terutamanya. Nampaknya Jelajah Penerangan UMNO ini menyedarkan pentingnya struktur jentera penerangan itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, persiapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi sedang dijalankan termasuklah mewujudkan jentera penerangan di setiap pusat daerah mengundi (PDM).
“Sebagai Ketua Penerangan UMNO Kimanis, saya akan berusaha untuk melaksanakan gerakan biro penerangan ini supaya lebih efektif kepada rakyat dan sampai kepada akar umbi.
“Jelajah Penerangan UMNO ini saya rasa amat bermakna bagi kami di Kimanis dan terima kasih kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia kerana dapat menurunkan penceramah yang hebat. Segala persoalan yang terbuku di hati, kami telah mendapatkan jawapannya.
“Persiapan untuk PRN yang kita ada sekarang ini… jentera-jentera di setiap PDM kita sudah wujudkan termasuklah jentera penerangan. Kita akan menguatkan lagi gerak kerja melalui penerangan isu-isu semasa kepada rakyat dan masyarakat,” katanya lagi.
Tegasnya, jentera penerangan bertanggungjawab untuk memberi pencerahan mengenai isu-isu berbangkit terutamanya pada PRN Sabah kelak.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami di bawah jentera penerangan untuk menerangkan segala isu dimainkan oleh pihak lawan terutamanya pada PRN Sabah yang akan datang.
“Harapan untuk menghadapi PRN Sabah ini, insya-Allah kita akan berusaha dan bekerja untuk mendekati hati rakyat dengan penerangan yang kita sampaikan berkesan agar gerak kerja kita dapat dilihat terutamanya di media sosial.
“Apabila segala usaha dan gerak kerja kita menampakkan bahawa kita dekat dengan rakyat, sudah semestinya ia akan dapat menambat hati mereka. Ini membuktikan bahawa UMNO ini dulu, kini dan selamanya sentiasa membantu rakyat,” katanya lagi.
Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kimanis telah diadakan pada Sabtu lalu dan disertai lebih 600 orang jentera penerangan di peringkat bahagian mahupun cawangan.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Rusman Dulamit, Naib Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Nasip Ngadiran dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Kimanis empat peringkat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman