Kuasai Media Sosial, Jayakan Agenda Politik UMNO/BN – Samasuddin

KALABAKAN, 9 Ogos – Para pemimpin dan akar umbi parti perlu menguasai segala platform media sosial untuk menjayakan agenda politik UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, dinamika politik yang berbeza pada ketika ini memerlukan seluruh jentera menggunakan kaedah berlainan dari diamalkan sebelum ini.

“Pada hari ini kita melalui dimensi politik berbeza yang berlaku di Malaysia khususnya di Sabah. Kalau kita masih kekal dengan strategi lama, kita akan merasa ‘syok sendiri’. Tidak berguna kita berpolitik seperti ini jika akhirnya ketika keputusan diumumkan, kita kecundang.

“Sebab itu untuk menang, memerlukan pengorbanan kita setiap hari, minggu dan bulan kerana pada akhirnya kita mengimpikan keputusan yang cemerlang untuk perjuangan UMNO kita bawa ini.

“Dahulu mungkin kita berkempen rumah ke rumah dan ia digerakkan oleh sayap Wanita UMNO. Pada pandangan saya kaedah ini masih perlu dibuat. Tetapi perlu ditambah baik. Gerak kerja Wanita UMNO rumah ke rumah ini, kita rakam dan viralkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kalabakan yang diadakan pada Ahad.

Menurutnya, media sosial perlulah dikuasai sebaiknya oleh setiap lapisan kepimpinan dan akar umbi parti agar segala maklumat dapat disampaikan secara tuntas kepada rakyat.

“Dalam konteks politik hari ini kita tidak boleh mengamalkan ‘tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri’. Apa jua yang kita lakukan masyarakat perlu tahu. Salah satu platform untuk menyebarkannya adalah melalui media sosial.

“Jadi, saya mohon kepada semua jentera dari setiap lapisan sama ada veteran hinggalah Pergerakan Puteri yang kurang arif tentang penguasaan media sosial, mohonlah bantuan kepada mereka yang arif.

“Ini perlu dilakukan supaya segala aktiviti yang bermanfaat dapat disebarkan sesama kita dan juga rakyat. Mahu tidak mahu kita perlu menganggap media baru ini satu benda yang wajib dalam menjayakan agenda politik kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa barisan kepimpinan baru dan lama perlu bersama-sama merangka strategi agar dapat memperoleh semula kepercayaan rakyat.

“Perlu ada jalinan untuk orang muda dan orang lama, duduk berbincang mengenai program yang boleh dilaksanakan bersama kepada rakyat. Inilah strategi yang perlu dijayakan oleh seluruh ahli dan akar umbi UMNO di Kalabakan agar kita dapat memperoleh semula kepercayaan rakyat.

“Apabila mereka percaya kepada kita, sudah mestilah mereka akan menterjemahkannya di kertas undi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Kalabakan merupakan destinasi terakhir untuk Jelajah Penerangan UMNO di Negeri Sabah.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Kalabakan empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit