Kempen BN Terus Terapkan Politik Berakhlak Di Nenggiri – Dr Asyraf Wajdi

GUA MUSANG, 9 Ogos – Barisan Nasional (BN) akan terus mengamalkan budaya politik sihat pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos nanti termasuklah tidak merendahkan antara satu sama lain.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya percaya pengundi dan masyarakat setempat cukup bijak untuk membuat penilaian yang sebenar terhadap komitmen termasuklah faktor yang memberikan manfaat kepada mereka.

“Sepertimana yang ditegaskan sebelum ini… rata-rata pengundi dan masyarakat di sini mempunyai persaudaraan dan satu kampung. Sebab itulah daripada awal lagi Barisan Nasional tidak ambil pendekatan sepertimana orang lain untuk memaki hamun malah merendahkan sesiapa.

“Kita hanya menawarkan calon yang terbaik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie untuk rakyat Nenggiri dan saya percaya kalau kita mengamalkan budaya politik yang sihat, berakhlak, tidak memfitnah, tidak mengeji, tidak memainkan sentimen-sentimen kebencian saya percaya akhirnya pengundi boleh menilai dengan objektif dan mengambil kira faktor yang boleh memberikan manfaat yang lebih besar kepada Nenggiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama jentera setempat mengadakan ziarah mesra dan mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan bersama anak-anak muda di Kg. Limau Kasturi.

Beliau seterusnya menambah perjalanan jentera makin bersemangat dan berharap semangat berkenaan akan terus dilipatgandakan.

“Sama-sama kita terus berusaha mengajak pengundi di Nenggiri untuk menilai calon kita saudara Awie berdasarkan prestasi, potensi, dan komitmen kepada rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit