Jelajah Penerangan UMNO: Rapatkan Saf, Bersatu Pertahankan Parti – Mohamad
KIMANIS, 9 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk merapatkan saf dan bersatu bagi mempertahankan UMNO dalam apa jua keadaan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 yang lalu adalah disebabkan persepsi dibawa oleh pihak lawan.
“Kita kalah pada PRU ke-14 kerana persepsi. Jadi, kita anjurkan Jelajah Penerangan UMNO Malaysia untuk membina persepsi yang baik terhadap parti. Bagaimana untuk kita memberitahu isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang dan menarik semula keyakinan rakyat.
“Apabila kita menang dan mempunyai kuasa politik, kita boleh menggunakan kuasa tersebut untuk membantu rakyat. Dengan kuasa tersebut kita dapat berbakti semula kepada masyarakat. Inilah sebenarnya pendekatan kita.
“Banyak bantuan telah kita berikan kepada rakyat tidak kira semasa kita berkuasa ataupun tidak. Tetapi rakyat di bawah tidak tahu. Segala usaha yang kita laksanakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu rakyat. Inilah sebenarnya peranan biro penerangan supaya rakyat mengetahui apa yang telah kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kimanis yang diadakan pada Sabtu lalu.
Tegasnya, barisan menteri kabinet Kerajaan Perpaduan daripada UMNO mempamerkan prestasi yang baik termasuklah dalam isu melibatkan tuntutan Sulu ke atas tanah Negeri Sabah.
“Pada hari ini kita telah menyaksikan menteri-menteri kabinet yang datang daripada UMNO, dipimpin oleh Presiden kita. Prestasi pemimpin-pemimpin UMNO ini adalah yang terbaik dalam Kerajaan Perpaduan hari ini. Ketua Penerangan kita, Datuk Seri Azalina Othman Said telah diamanahkan untuk mengendalikan kes tuntutan Sulu.
“Ini isu besar di Negeri Sabah. Beliau telah melaksanakan tugas beliau dengan baik dan pada akhirnya kita mendapat kemenangan. Ini adalah usaha terbaik Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang datangnya daripada UMNO. Alhamdulilah.
“Insya-Allah kami akan pastikan tidak seinci pun bumi Sabah akan tergadai kepada pihak lain,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar UMNO/BN kembali bangkit dan menjadi sebuah parti dominan untuk mentadbir negara dan Negeri Sabah pada pilihan raya akan datang.
“Kita mesti bersatu untuk mempertahankan UMNO ini dalam apa jua keadaan sekali pun. Kita perlu bersama-sama dengan barisan kepimpinan di pusat, negeri dan bahagian mempertahankan UMNO ini.
“Mulai hari ini kita rapatkan saf kita, kukuhkan perpaduan yang kita bina eratkan kerjasama kita untuk memastikan kita digeruni dan kembali teguh. Insya-Allah pada PRU ke-16 kita akan bangkit sebagai sebuah parti yang dominan,” katanya lagi.
Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kimanis telah diadakan pada Sabtu lalu dan disertai lebih 600 orang jentera penerangan di peringkat bahagian mahupun cawangan.
Turut hadir MKT UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Rusman Dulamit, Naib Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Nasip Ngadiran dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Kimanis empat peringkat. – UMNO Online