7,000 Hektar Tanah Kesedar Sudah Dipecah Lot, Dalam Proses Penukaran Nama – Ahmad Zahid

GUA MUSANG, 9 Ogos – Seluas 7,000 hektar tanah milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sudah dipecahkan mengikut lot, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Kesedar yang merupakan agensi di bawah kementerian berkenaan sedang dalam proses mengagih dan menukar hak milik lot tanah itu kepada 2,200 peneroka terlibat secara berfasa.

Justeru, katanya dakwaan PAS bahawa Kesedar tidak memproses ribuan lot tanah yang diluluskan kerajaan negeri kepada Kesedar untuk diberikan kepada peneroka adalah tidak berasas.

“Tanah yang menjadi milik Kesedar, dengan premiumnya telah dibayar dan geran besar telah diperoleh, akan diagihkan sebagai hak milik peneroka oleh pihak pentadbiran Kesedar,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bercakap pada sidang media semasa program Temu Mata bersama warga Peneroka Kesedar dan masyarakat di kampung Renok Baru, di sini hari ini. Program tersebut diadakan bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ahmad Zahid turut mengingatkan PAS supaya tidak menggunakan kuasa penyerahan hak milik tanah yang terletak di bawah kerajaan negeri untuk mengugut rakyat.

“Apabila premium itu telah dibayar, hak milik itu harus diberikan kepada individu berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Kesedar dalam perkara ini.

“Jangan guna kuasa untuk mengugut atau menafikan keadilan yang sepatutnya diterima oleh peserta Kesedar,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, sebagai menteri  Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW, beliau akan memastikan segala permasalahan diselesaikan dengan segera dan mencari jalan penyelesaian jika ia melibatkan pentadbiran negeri, demi menuntut keadilan bagi peneroka Kesedar.

“Saya dah bertemu pemimpin peneroka dan pengurusan Kesedar, Insya-Allah mereka tahu dan kenal mana yang kaca dan mana intan untuk (PRK) 17 Ogos nanti,” katanya.

Pengerusi Kesedar Datuk Zawawi Othman yang turut serta dalam program itu berkata walaupun Kesedar sudah membayar premium dan menjadi pemilik tanah berkenaan, namun kuasa menukar hak milik tanahmasih  terletak di bawah kerajaan negeri.

“Nak tukar nama mesti melalui pejabat tanah. Itu sahaja. Jika kerajaan Kelantan menyusahkan (proses tukar milik), maknanya mereka menzalimi peneroka,” katanya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ceramah politiknya di DUN Nenggiri semalam, mendakwa Kesedar melengahkan proses pemberian geran kepada penduduk tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit