Strategi Teratur Pastikan Kemenangan BN/UMNO Di PRK Nenggiri – Bung Moktar

GUA MUSANG, 7 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin optimis Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani selaku calon yang ditampilkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mampu mencipta kejayaan jika strategi dijalankan secara teratur.

Katanya, walaupun PRK kali ini dilihat bukan sesuatu yang mudah namun dengan gerak kerja kempen serta pendekatan yang dilakukan oleh jentera parti, Wanita, Pemuda dan Puteri iaitu dilaksanakan secara seiring dan selaras dengan perancangan yang dirancang, maka kejayaan bukan mustahil.

“PRK kali ini bukannya sesuatu yang mudah, namun saya menaruh keyakinan BN akan kembali bangkit mengambil alih kawasan ini, apa lagi BN menampilkan calon orang muda, anak tempatan yang telah pun berkhidmat kepada rakyat sebelum ini atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Kelantan,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengetuai delegasi UMNO/BN Sabah bagi membantu jentera BN pada PRK kali ini yang turut disertai oleh Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafray Arifin dan beberapa ketua bahagian UMNO dari Sabah.

Diajukan soalan apakah acuan yang perlu dilakukan oleh calon BN, Mohd Azmawi Fikri berikutan kedudukan geografi DUN Nenggiri lebih kurang sama dengan kawasan Kinabatangan, Bung mengakuinya namun saiznya tidak sama justeru ia memerlukan pendekatan yang berbeza.

“Apa yang perlu dilakukan oleh calon setelah memenangi PRK kali ini ialah selesaikan isu rakyat, harus ingat kita datang dari rakyat jadi perlu kembali kepada rakyat maka jika ini menjadi budaya wakil rakyat BN/UMNO insya-Allah parti akan kuat,” katanya.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah mengakui cabaran di Kelantan dan di Sabah tidak jauh berbeza kerana dikenali sebagai negeri termundur dan termiskin malah ia tentunya terlalu berat untuk calon atau wakil rakyat dari BN/UMNO patah lagi kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan Persekutuan.

“Namun saya yakin cabaran-cabaran ini terutamanya dari aspek pembangunan akan dapat dilalui dan diselesaikan sedikit demi sedikit, yang penting ada permulaan kerana jika ada permulaan maka pasti ada pengakhiran yang baik,” jelas Bung.

Diajukan soalan dari segi pembangunan di Kelantan, Bung berkata ia berhadapan dengan masalah sekiranya kerajaan negeri ditadbir oleh kerajaan yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat.

“Contohnya isu tanah untuk tujuan pembangunan, apabila tiada tanah atau kebenaran dari kerajaan negeri yang berhak ke atas kelulusan maka apa pun perancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat sukar dilaksanakan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit