PRK Nenggiri: Komitmen HAWA Turun Padang Untuk Menangkan BN

GUA MUSANG, 7 Ogos – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Sharizat Abdul Jalil, menyatakan komitmen sepenuhnya dalam menyantuni rakyat dan pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Jelasnya, HAWA melaksanakan gerak kerja bertujuan mendekati penduduk setempat, khususnya dalam usaha memastikan pembangunan kawasan tersebut pada masa hadapan.

“Kita membawa satu mesej yang amat positif untuk penduduk mahupun pengundi yang ada di Nenggiri ini, sekiranya mahu pembangunan, inilah masanya. BN menawarkan satu calon yang memang istimewa, beliau seorang anak muda, mempunyai pengalaman, mencatatkan satu rekod yang bagus di seluruh Gua Musang, apatah lagi di DUN ini.

“HAWA ini menyantuni masyarakat, menjadi penyambung di antara rakyat dan juga pihak berkuasa. Kita turun untuk membantu, membawa suara kerajaan. Alhamdulillah, sebab ramai daripada mereka yang berjumpa mahu pembangunan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Limau di sini.

Tambah Sharizat, beliau memuji calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berkredibiliti dan mempunyai rekod yang cukup baik.

“Saya memuji calon BN di DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan seorang anak muda yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik di seluruh Gua Musang.

“Ini adalah peluang yang baik untuk penduduk Nenggiri memilih calon yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan ke kawasan mereka,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Sharizat berharap BN dapat merampas kembali DUN ini dengan bantuan jentera-jentera parti dan badan bukan kerajaan (NGO)

“Saya nampak bahawa di DUN Nenggiri ini ada harapan BN hendak menang tetapi kita tidak boleh silap sama ada jentera parti atau pun jentera-jentera lain seperti NGO yang datang membantu. Kita berbicara dengan pengundi di DUN Nenggiri ini untuk mengundi dan beri kepercayaan kepada calon BN serta merampas kembali kerusi ini,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos lalu manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit