Perpaduan Dalaman Dan Pemerkasaan Parti Perlu Jadi Fokus Utama – Mu’izz

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin berpandangan perpaduan dan kekuatan dalaman parti perlu terus menjadi fokus utama bagi memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik negara.

Beliau menyifatkan ia sebagai kunci untuk memastikan parti terus kekal kuat dan stabil kerana tanpanya sukar untuk parti keramat ini untuk maju ke hadapan.

“UMNO mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu.

“Kini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran besar. Justeru, perpaduan dalaman adalah kunci untuk memastikan parti kita kekal kuat dan stabil. Tanpa kerjasama dan kesatuan, sukar untuk kita maju,” katanya.

Kenyataan tersebut diberikan bersempena berakhirnya Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut, yang berlangsung minggu lalu.

Mengulas lanjut mengenai langkah-langkah yang dicadangkan dalam usul, Mu’izz menekankan pentingnya mengadakan dialog terbuka dalam menangani perselisihan dalaman.

Ini termasuk pemulihan keyakinan ahli dan masyarakat terhadap UMNO turut sama perlu diberi perhatian.

“Kita faham bahawa perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana organisasi. Namun, dengan dialog yang terbuka dan sihat, kita dapat menyelesaikan isu-isu ini dengan cara yang membina, tanpa menjejaskan kekuatan parti,” katanya.

“Setiap tindakan dan keputusan parti dilaksanakan dengan telus dan adil. Ini adalah satu-satunya cara untuk mengembalikan kepercayaan ahli-ahli dan rakyat. Dalam era maklumat yang serba pantas ini, memastikan maklumat yang tepat dan seragam sampai kepada semua pihak adalah kritikal,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut sama mengajak ahli parti untuk mengingatkan tentang pentingnya UMNO kembali kepada prinsip-prinsip asas parti dalam menghadapi cabaran politik yang dinamik.

“UMNO perlu tegas dalam pendirian dan tindakan, memastikan ia selaras dengan matlamat memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu, dan negara. Kepimpinan yang bijaksana dan berdisiplin adalah asas untuk memastikan parti kita dihormati dan relevan,” katanya dengan tegas.

“Penyokong di peringkat akar umbi adalah mata dan telinga kita. Pandangan mereka sangat penting untuk memastikan kita terus berada di landasan yang betul. Kita perlu mendengar suara mereka dan memastikan kerjasama yang erat dalam setiap tindakan.

“Usul ini adalah manifestasi keprihatinan kita untuk melihat UMNO bangkit semula dengan lebih kuat dan bersatu. Dengan program-program latihan, motivasi, dan pengurusan maklumat yang berkesan, saya yakin kita akan berjaya mengembalikan kegemilangan UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.