Kita Mahu Pilih Calon Yang Boleh Beri Khidmat, Teruskan Gerak Kerja Menangkan BN – Azalina

GUA MUSANG, 7 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap seluruh jentera parti terus melaksanakan pelbagai perancangan yang telah disusun dengan sebaiknya dalam usaha memastikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Menurut beliau walaupun calon berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri dan mempunyai pakej yang baik untuk diamanahkan sebagai wakil rakyat, ia memerlukan gerak kerja yang berterusan sehingga ke hari akhir tempoh berkempen.

“Walaupun kita yakin dengan kekuatan calon kita, saya ingin menyeru agar kita semua berhati-hati dan tidak terlalu berkeyakinan tinggi. Ini kerana pihak lawan sering melakukan pelbagai strategi dan taktik yang tidak dijangka terutama ketika menjelang hari mengundi.

“Kita perlu sentiasa bersedia dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan yang meyakinkan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, Selasa.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan ke Kuala Sungai dan Bertam Lama bersama jentera tempatan yang lain dalam usaha meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian 17 Ogos nanti.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi seterusnya menambah PRK DUN Nenggiri adalah untuk memilih seorang wakil rakyat yang menjaga masyarakat di DUN Nenggiri dan calon yang ditonjolkan oleh BN mempunyai pakej tersendiri.

“Kita nak memilih calon wakil rakyat, yang jaga isu rakyat. BN menawarkan anak tempatan…. saya tak kata calon Pas tak baik, tetapi saya nak beritahu tuan-tuan puan-puan, adik kakak, calon BN lebih baik. Kami letak yang muda-muda sebab bagi kami yang muda-muda itulah yang akan mewarisi negara kita.

“Itu sebabnya bila kita nak memilih nanti lepas kita pilih, esok mereka yang datang ramai-ramai dah balik dan yang akan tinggal adalah penduduk di sini. Jadi bila kita nak memilih, kita mesti pilih orang yang boleh bekerja… orang yang boleh memberi khidmat terbaik. Kita tak halang pihak lawan pergi rumah ke rumah, kita tak halang dia nak berceramah, dia nak mengutuk dan sebagainya lagi kita tak halang, itu hak dia.

“Sama juga hak kita, tapi kita tawarkan kebajikan… kita tawarkan kebaikan dan kita tawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di Nenggiri ini,” tambahnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit