Fokus Kuatkan Kembali UMNO, Rakyat Menilai Untuk Masa Hadapan Lebih Baik – Tengku Zafrul

KOTA RAJA, 7 Ogos – Masa dan ruang yang ada hari ini adalah peluang terbaik kepada ahli-ahli UMNO khususnya kepimpinan parti dan juga menteri-menteri UMNO yang berada dalam kabinet bagi menunjukkan keupayaan dalam melaksanakan amanah dan bekerja.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa penilaian kepada UMNO bukan sahaja melibatkan anggota parti tetapi juga masyarakat keseluruhan.

Ujarnya, kerajaan hari ini bukan kerajaan UMNO/BN atau mana-mana parti politik tetapi ia adalah Kerajaan Perpaduan.

“Kita berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama rakan-rakan politik lain dan UMNO mempunyai tujuh menteri kabinet. Saya yakin dengan keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani ini ia akan menguatkan lagi parti kita.

“Kita kena fokus bukan sahaja untuk menguatkan parti kita dalam UMNO tetapi menguatkan parti kita di dalam kalangan rakyat kerana apa-apa yang kita buat, apa-apa yang kita cakap terutamanya dalam ucapan-ucapan kita ini bukan sahaja dinilai oleh orang ahli-ahli parti tetapi juga dinilai oleh masyarakat di luar sana.

“Oleh itu kita perlu memastikan yang kita kekal relevan di mata rakyat, tak cukup kita hanya fokus pada orang-orang UMNO kerana kita mesti pastikan dan terus dekati rakyat termasuk dengan program-program yang bersama mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga memaklumkan telah turun padang dan menyantuni beberapa bahagian dengan merasmikan mesyuarat mereka sepanjang berlangsungnya tempoh persidangan UMNO peringkat bahagian.

“Ya, Alhamdulilah saya telah banyak berjalan merasmikan bahagian-bahagian di seluruh negara, ini adalah pengalaman yang amat baik kerana kita memberi fokus kepada isu rakyat.”

Terdahulu, mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja telah dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Ahad.

Ujar Tengku Zafrul, dalam ucapannya Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menekankan tentang apakah yang perlu dibuat di peringkat negeri, di peringkat bahagian dan terutamanya di Negeri Selangor.

“Dalam isinya ada tiga, pertama ialah mengingatkan semua ahli-ahli UMNO supaya bersama untuk pastikan kita kuatkan parti, jangan kita buat cara lama.

“Keduanya ialah apa yang perlu kita buat bersama-sama dengan politik baharu iaitu bersama kekalkan perpaduan, bersama dengan parti komponen dan juga rakan politik, laksana strategi baharu.

“Dan yang ketiga ialah supaya kita terus kekal relevan apabila kita menyantuni rakyat kerana politik hari ini berbeza. Dulu cara lama politik hanya memberi fokus pada pembangunan dan perkhidmatan tetapi itu tidak cukup kerana kini isu, sentimen dan sebagainya perlu juga ditangani,” katanya lagi – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.