Ahli Bersatu Patut Keluar Parti, Hina Pertukaran ‘Baju’ – Rosni Sohar

GUA MUSANG, 7 Ogos – Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata rakyat Nenggiri perlu menolak calon Bersatu ekoran tindakannya yang ‘menukar baju’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Menurutnya tindakan calon tersebut sebagai satu penghinaan pada Bersatu dan menjadi punca ramai ahli keluar parti.

“Apabila calon yang dipertandingkan pada PRK DUN Nenggiri ini ‘bertukar baju’ kerana ingin bertanding, itu merupakan satu perkara yang sangat menghina kepada Bersatu dan sebab itu ramai ahli mereka keluar parti.

“Bersatu tidak ada calon yang bagus, hebat dan baik maka ahlinya harus keluar parti dan menunjukkan bantahan. Inilah sepatutnya dan kita sedar bahawa Bersatu ketandusan calon.

“Manakala Pas boleh bermain ‘dua alam’ dengan sekelip mata kerana mahu meletakkan calonnya. Alangkah rugi sekiranya mengundi calon seperti ini. Boleh menukar parti demi kepentingan dirinya sendiri,” katanya kepada UMNO Online di PDM Jerek, Nenggiri. 

Mengulas lanjut, Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Hulu Selangor berkata Wanita UMNO/BN sebenarnya sudah lama siap siaga dan sentiasa berkempen dari rumah ke rumah untuk mendekati dan mengenali pengundi.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima dari pengundi sangat positif. Ini jelas menunjukkan pengundi ingin kembali kepada UMNO/BN. Ia bukan hanya sekadar cakap-cakap sahaja tetapi jelas dengan perbuatan mereka.

“Jentera Wanita UMNO/BN dilihat sangat bersemangat berkempen tanpa mengenal penat lelah dan komited menjalankan tugas masing-masing.

“Calon UMNO/BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, dilihat sebagai calon terbaik. Beliau yang mesra, masih muda, memiliki karisma dan bersikap rendah diri, dianggap sebagai calon yang memenuhi citarasa rakyat Nenggiri. Beliau juga menjadi tempat rakyat Nenggiri mengadu dan membela nasib mereka hingga ke peringkat pusat,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Ini adalah PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu selepas PRK Bugaya (Sabah), Tioman (Perak), Padang Serai (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), DUN Simpang Jeram dan Pulai (Johor), Pelangai (Pahang), Jepak (Sarawak), Kemaman (Terengganu), Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan Sungai Bakap (Pulau Pinang). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.