Tambah Pegawai AADK Berintegriti Di Setiap Daerah, Banteras Pengedaran Dadah – Azhar

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad mencadangkan agar kerajaan menambah pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) di setiap daerah.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata ini penting bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh di sesuatu kawasan dapat dilaksanakan lebih baik.

“Saya ingin mencadangkan AADK ini kalau satu daerah, contohnya di Manjung ada empat orang.

“Tak cukup pegawai. Kesian kepada pegawai sedia ada 24 jam nak buat kerja,” katanya.

Azhar berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) di Dewan Negara pada Khamis.

Dalam pada itu beliau berkata gejala penagihan dadah ini dapat diatasi sekiranya pengedaran yang dihentikan melalui penguatkuasaan yang lebih kompeten.

Katanya lagi, aktiviti tidak sihat ini dapat dibanteras melalui pegawai-pegawai yang profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya kepada rakyat dan negara.

“Jangan harapkan pagar tapi pagar makan padi keseluruhannya ialah kalau penguatkuasaan tulus, ikhlas, amanah, menjalankan ini untuk negara dan bangsa, takkan tak boleh selesai lagi dadah kita ni?

“Pengedar dadah tak dapat ditangkap tetapi yang ditembak penagih dadah. Jadi kita nak ada RUU ini apabila seorang penagih dadah kalau dia dipulihkan, dia tidak masuk dalam elemen-elemen seorang penjenayah.

“Bagi mereka pegawai yang kompeten, integriti kerana untuk melihat negara ini 10 tahun ke hadapan lihat pemuda hari ni. Kalau anak-anak muda tidak terlibat dengan gejala dadah nescaya negara kita 10 tahun lagi menjadi negara hebat,” ujar beliau.

Terdahulu persidangan Dewan Negara melabuhkan tirai pada Khamis lalu setelah bersidang selama lapan hari (dua minggu) bermula 22 Julai lepas yang menyaksikan 27 rang undang-undang (RUU) diluluskan.

Manakala Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bagi Dewan Negara dijadual bermula pada 2 Dis hingga 19 Dis depan iaitu selama 12 hari. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.